Wednesday, November 05, 2008

Urus ekosistem tasik perlu sistematik, lestari

Berita Harian, Jumaat, 24 Oktober 2008

Oleh Dr Zaini Ujang

'VARSITY Boat Race' yang berlangsung meriah pada 16 hingga 18 Oktober lalu anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Teknologi Malaysia, adalah antara aktiviti air tahunan Tasik Putrajaya yang perlu dimasukkan dalam kalendar aktiviti pelancongan negara.

Acara yang berlangsung tiga tahun, diilhamkan menerusi pertandingan tahunan antara Universiti Oxford dan Cambridge di Sungai Thames itu, sudah menjadi medan utama melahirkan jaguh sukan kayak dan perahu lumba di kalangan negara Asean.

Peserta dari lima negara dan 17 universiti tempatan, bukan saja mewakili universiti masing-masing malah sebahagiannya turut mewakili negara pada kejohanan Sukan Sea di Korat, Thailand tahun lalu. Selain itu, pertandingan berkenaan memberi imej baru kepada ekosistem tasik di Malaysia, khususnya tasik buatan seperti di Putrajaya.

Realitinya, tasik adalah salah satu komponen penting dalam landskap Malaysia. Kebanyakan tasik di Malaysia unik kerana tidak terbentuk menerusi proses semula jadi tetapi menerusi tinggalan aktiviti perlombongan dan pembinaan empangan air sama ada untuk tujuan bekalan air minuman, penjanaan tenaga dan pengairan.

Sebagai negara yang menerima hujan kelebatan melebihi 2000mm setahun, maka peranan tasik, khususnya tasik buatan, tidak terhad kepada fungsi hidrologi untuk menampung limpahan air larian bandar dan hutan. Tasik juga membentuk ekosistem tersendiri dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna tropika. Jika diuruskan dengan baik, potensi tasik boleh diperluas dan dikembangkan lagi untuk pelbagai tujuan lain seperti rekreasi, eko-pelancongan, perikanan dan sumber air.

Namun demikian, pada hemat saya, kita masih belum memanfaatkan potensi tasik sebaiknya. Dalam banyak keadaan, tasik bagaikan hidup segan mati tak mahu, kecuali tasik dalam konteks empangan air dan tasik yang dimajukan di kawasan strategik seperti di Putrajaya dan Titiwangsa.

Tasik lain nampaknya menunggu masa untuk dinilai semula peranannya, sama ada dikambus dijadikan tapak kawasan 'pembangunan' atau dibiarkan sehingga fenomena eutrofikasi berlaku dengan serius. (Eutrofikasi ialah status penanda aras tasik yang mengalami penambahan ketara bahan nutrien yang akhirnya menggalakkan pertumbuhan rumpai air sehingga memenuhi dasar dan permukaan tasik).

Keadaan ini menyebabkan ekosistem tasik tidak lagi seimbang, pengurangan kandungan oksigen dan kepupusan hidupan air khususnya ikan. Pada hemat saya, punca utama kebanyakan tasik di negara ini terbiar atau tidak diuruskan dengan lestari disebabkan tidak ada dasar yang jelas untuk menentukan mekanisme dan tatacara pengurusan tasik.

Pihak yang berhasrat menguruskan tasik secara lestari terpaksa menentukan sendiri mekanisme, termasuk kaedah pengurusan dan sumber kewangan dan dalam banyak keadaan tanpa sokongan agensi awam. Itulah sebabnya pihak swasta sahaja setakat ini yang berjaya menguruskan tasik dengan baik dalam sesuatu kawasan perumahan atau rekreasi.

Sehingga kini hampir semua pihak berkuasa kerajaan tempatan, kecuali Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, sering kali menemui jalan buntu untuk mengurus dan memajukan tasik. Hanya kerja penyelenggaraan biasa saja yang mampu dilakukan seperti pengindahan lanskap persekitaran tasik, tetapi ekosistem dan kualiti air tidak dilestarikan.

Selain itu, banyak pihak mengurus tasik hampir serupa dengan mengurus sungai atau pantai. Ini salah dari segi prinsip kejuruteraan dan ekologi kerana ekosistem tasik jauh berbeza dengan jasad air dinamik seperti sungai atau pantai.

Air tasik tidak mengalir dan apa saja bahan cemar yang masuk ke tasik akan berada dalam tasik itu hingga reput secara semula jadi. Jika tidak mereput, maka bahan cemar terbabit kekal dalam tasik. Ekosistem sesebuah tasik juga unik dan berbeza dengan tasik lain.

Inilah faktor yang menyebabkan banyak tasik nampak seakan-akan tidak terurus, terbiar dan akhirnya terpaksa dikambus kerana membahayakan penduduk sekitar dan menyakitkan mata memandang, bagi memberi laluan kepada projek pembangunan lain di tapak berkenaan. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan, akan mengurangkan keluasan tasik yang boleh dimajukan untuk memenuhi keperluan asas penduduk bandar dari segi rekreasi dan penebatan banjir.

Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan agar pihak kerajaan mengambil langkah proaktif menangani masalah pengurusan ekosistem tasik secara lebih sistematik menerusi dasar dan mekanisme tasik secara lebih komprehensif seperti dilakukan Perbadanan Putrajaya. Cadangan ini sebenarnya sudah dikemukakan kepada pihak kerajaan menerusi laporan akhir projek penyelidikan pengurusan tasik oleh UTM, tajaan Akademi Sains Malaysia pada 2006.

Menerusi dasar dan mekanisme itu, maka dapatlah pelbagai pihak, khususnya pihak berkuasa kerajaan tempatan, menjadikan ekosistem tasik sebagai salah satu komponen penting alam sekitar yang diuruskan dengan lestari. Selain itu, pelbagai projek pembangunan dan guna tanah di sekitar tasik yang dilakukan atas nama 'pembangunan' akuakultur, eko-pelancongan dan rekreasi dapat dirancang dengan lebih baik agar tidak mencemarkan ekosistem tasik.

Menerusi sistem dan mekanisme pengurusan lestari, maka potensi tasik sebagai pusat kegiatan eko-pelancongan, rekreasi, akuakultur, bekalan air dan sebagainya dapat dioptimumkan. Hal ini boleh direalisasikan menerusi penubuhan satu unit khas di Jabatan Alam Sekitar yang menjalankan kerja pengelasan, pemantauan kualiti dan pengurusan ekosistem tasik.

Selain itu, dana yang mencukupi perlu disediakan untuk mengurus dan memulihkan tasik yang mengalami pencemaran agar fungsinya sebagai sebuah ekosistem seimbang dapat dibangunkan. Di samping itu, universiti tempatan boleh membantu menerusi penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan ekosistem tasik.

Jika diuruskan dengan baik, saya yakin, potensi tasik boleh dikembangkan lagi untuk tujuan rekreasi, eko-pelancongan, perikanan dan sumber air. Dengan ada tasik yang indah, Putrajaya sebagai contoh, bukan hanya berseri dengan seni bina bangunan indah dan lanskap terhampar kehijauan, malah didinginkan dengan kebiruan tasik kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna, serta ekosistem lestari. Dan acara seperti 'Varsity Boat Race' akan menambah kemeriahan dan merancakkan lagi irama hidup warga Putrajaya sebagai bandar pintar dan ekosistem lestari.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

No comments: