Sunday, November 09, 2008

Obama diharap wujud masa depan dunia gagasan hijau

Berita Harian - Jumaat, 7 Nov 2008
Oleh Dr Zaini Ujang

Bangun semula ekonomi menerusi iltizam baru mampu ubah dasar Amerika Syarikat dalam konteks persekitaran
KEMENANGAN besar Barack Obama pada pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS), kelmarin disambut meriah oleh pengundi dan penyokongnya di serata dunia. Bahkan aktivis alam sekitar dan pendukung gagasan pelestarian turut bergembira dengan kemenangan besar Barack Obama pada pemilihan Presiden AS dan mengharapkan perubahan besar kepada dasar AS dalam konteks persekitaran dan kehidupan global lebih baik dan lestari.


Obama adalah salah seorang pemimpin yang bersetuju bersama-sama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membangunkan semula ekonomi dunia menerusi Iltizam Baru Hijau (Green New Deal). Pemimpin lain yang turut serta, antaranya Perdana Menteri Britain Gordon Brown dan Presiden Perancis Nicolas Sarkozy.

Iltizam itu bertujuan untuk memulakan satu sistem ekonomi dan kerangka pembangunan lebih lestari, berteraskan ekonomi terkawal, berpaksikan ‘keperluan’ bukan ‘kehendak’ dan berasaskan gagasan hijau. Iltizam itu dirangka sebagai reaksi kepada keadaan ekonomi dunia yang semakin tidak menentu ekoran kesan krisis kewangan semasa yang bermula di Wall Street yang sudah menjangkau ke benua Eropah dan semakin menular ke Asia.

Hampir semua laporan penganalisis menyalahkan sistem kewangan dan institusi perbankan AS yang gagal menangani krisis pinjaman subprimer pada 2007 sehingga melumpuhkan institusi kewangan seteguh Merrill Lynch dan Lehman Brothers pada September lalu.

Selain mengenal pasti punca krisis, banyak mekanisme dan gagasan baru dikemukakan untuk mewujudkan sistem kewangan lebih lestari dan ekonomi dunia berdaya tahan. Sistem kewangan dan perbankan alternatif, termasuklah sistem Islam mula dikemukakan untuk membentuk suasana global lebih adil, seimbang dan lestari. Selain itu, dasar dan gagasan ekonomi lestari juga dibincangkan sehingga termeterai Iltizam Baru Hijau yang turut dipersetujui Obama, minggu lalu.

Pada hemat saya, inilah masa paling sesuai dan strategik untuk kita memulakan iltizam dan kerangka baru. Ketika banyak negara mengalami krisis ekonomi - sesetengah pihak menyamakannya seperti Kemelesetan Besar ketika pentadbiran Presiden Franklin Roosevelt dulu - Iltizam Baru Hijau merupakan resipi yang diharap dapat membangunkan semula persekitaran ekonomi dan kehidupan global yang dinamik dan berterusan. Perdana Menteri Jepun, Taso Aso pula menggesa semua pihak agar mengambil ‘kesempatan besar ini untuk memulakan perkembangan baru’ bagi membentuk ‘masyarakat rendah-karbon’.

Dalam konteks AS, sektor teknologi maklumat menjadi pemangkin utama pada awal 1990-an. Bagaimanapun kerakusan pelabur menerusi skim modal rintis (venture capital) menyebabkan pasaran kewangan terjejas teruk.

Kemudian sektor hartanah menjadi pemangkin ekonomi bukan saja di AS bahkan di negara Eropah dan Asia, khususnya di Britain dan China. Akibat pergantungan kepada pinjaman bank mengatasi keupayaan untuk membayar menyebabkan pasaran hartanah merudum teruk sehingga mencetuskan krisis subprimer tahun lalu.

Untuk menjayakan Iltizam Baru Hijau, pemangkin ekonomi baru yang lestari diperlukan. Dengan pengurangan pasaran kewangan sebanyak satu pertiga ketika ini berbanding awal tahun lalu maka pelabur akan lebih berhati-hati dan selektif.

Selain mengharapkan pembabitan pasaran kewangan, itizam baru itu mensasarkan komitmen kerajaan untuk menyediakan dana memulakan inisiatif besar khususnya industri teknologi bersih. Dan itulah komitmen yang diberikan Obama.

Hal ini selaras dengan inisiatif mengurangkan kesan pemanasan global dan pembangunan ekonomi yang memberi impak besar kepada kemajuan warga dunia, bukan hanya memuaskan kehendak pelabur dan spekulator saham di Wall Street.

Selain itu, Iltizam Baru Hijau itu juga perlu mengambil kira peratus pengangguran yang sedang meningkat di serata dunia. Di Eropah saja, sebagai contoh, pengangguran dijangka meningkat daripada 11.3 juta kepada 14.5 juta pada akhir tahun ini. Sementara itu, kadar pengangguran di AS dijangka meningkat daripada 6.1 peratus kepada lapan peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempuh 25 tahun.

Dalam manifestonya, Obama menyatakan komitmen untuk menangani krisis ekonomi semasa menggunakan pendekatan hijau dan lestari. Sebagai contoh, Obama akan memulakan inisiatif untuk membuat pelaburan strategik AS$150 bilion selama 10 tahun dalam ekonomi tenaga bersih bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada lima juta orang.

Obama juga berjanji untuk mempercepatkan proses pengkomersialan kereta hibrid, projek tenaga alternatif, penjimatan tenaga, loji arang batu bersih dan biofuel. Selain itu, Obama juga akan menyediakan program latihan khas untuk membolehkan pekerja dilatih sebelum menceburi industri hijau dan penghasilan produk hijau.

AS sebenarnya sudah jauh ketinggalan dalam konteks komitmen hijau, berbanding Eropah dan Jepun. Ketika ini Jerman telah melabur AS$240 bilion dalam industri tenaga alternatif yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 250,000 orang.

Menjelang 2020, jumlah itu dijangka meningkat mengatasi jumlah pekerja sektor pengeluaran automobil yang ketika ini tertinggi di Jerman. Britain pula akan melabur AS$100 bilion untuk menyediakan 7,000 turbin angin menjelang 2020 menyediakan 160,000 pekerjaan.

Perkembangan politik-ekonomi mutakhir ini memang sukar dijangka. Harga minyak di pasaran dunia terus menurun dan dijangka akan sampai ke paras AS$40 menyebabkan ketidaktentuan pula di kalangan pengeluar minyak, terutama di Asia Barat. Hal ini mungkin menyebabkan gesaan untuk menggunakan tenaga alternatif tidak begitu mendesak. Menurut jangkaan Agensi Tenaga Antarabangsa, sebanyak AS$45 trilion diperlukan menjelang 2050 untuk mengurangkan 50 peratus penghasilan karbon dioksida.

Pelantikan Obama sebagai Presiden AS diharap memberi nafas baru kepada masa depan dunia lebih lestari, biarpun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi.

Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Source: Berita Harian, Rencana -Minda Lestari (Jumaat, 7 Nov 2008)

No comments: