Tuesday, November 25, 2008

Gagasan sanitasi lestari rawat air

Berita Harian - Minda Lestari 21 Nov 2008

SEJAK Allah SWT mencipta Nabi Adam, air adalah keperluan asas terpenting. Jutaan manusia boleh hidup tanpa cinta tetapi tidak boleh hidup tanpa air! Justeru, air adalah isu asasi dari segi ketamadunan. Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan persidangan air bagi rantau Asia Pasifik di ibu negara, Selasa lalu.

Minggu ini saja berlangsung tiga persidangan penting peringkat antarabangsa berkaitan air dan sanitasi di rantau Asia Tenggara. Pada 18 dan 19 November, Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kerjasama Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (SIS) Malaysia menganjurkan persidangan air rantau Asia Pasifik dengan kerjasama hampir semua pertubuhan dan agensi penting berkaitan.

Pada hari sama, Seminar Pilihan Sistem Sanitasi dianjurkan Persatuan Air Antarabangsa (IWA) di Hanoi, Vietnam. Sementara Persidangan Pengurusan Air dan Alam Sekitar pula dilangsungkan di Institut Teknologi Surabaya, Indonesia.
Ketiga-tiga persidangan itu dianjurkan sebagai natijah betapa isu air menjadi semakin kritikal, meskipun rantau Asia Pasifik beriklim tropika yang menerima taburan hujan lebat melebihi 2000 mm setahun. Kepentingan air semakin dirasakan dengan peningkatan proses perbandaran dan perindustrian di sekitar bandar raya utama.

Faktor yang menyebabkan isu air semakin menjadi keutamaan dalam proses pembangunan di rantau Asia Tenggara ialah pencemaran.

Walaupun ada kalanya air melimpah-ruah ketika musim hujan, sehingga menyebabkan banjir, banyak aktiviti mencemarkan sumber air menerusi empat punca utama, iaitu kumbahan, buangan industri, pembangunan tanah dan aktiviti pertanian.

Hal sama berlaku di Eropah sejak awal Revolusi Industri, dan di negara maju lain pada awal abad ke-20.

Sehingga kini, hampir seluruh dunia khususnya di negara membangun mengalami masalah sama sehingga mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan kesihatan awam.

Menurut Laporan Pembangunan Air Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kematian akibat penyakit berasaskan air dan sanitasi berjumlah 2,213,000 dan sejuta kematian akibat malaria saja pada 2003.

Sehubungan itu, pelbagai teknologi dimajukan untuk membendung pencemaran air yang diolah dalam kerangka sistem dikenali sebagai ‘sanitasi konvensional’.

Sistem sanitasi ini diilhamkan daripada peradaban lama sejak empayar Mesopotamia (3500 hingga 2500 Sebelum Masihi). Asasnya ialah pengumpulan air sisa terutama najis manusia yang disalurkan menerusi sistem pembetungan kemudian dilepaskan ke sungai atau laut.

Bagaimanapun, pelepasan ke sungai dan sumber air lain menyebabkan pelbagai penyakit merebak. Dr John Snow membuktikan bahawa taun merebak disebabkan pencemaran sumber air di London pada 1848-1854.

Ini menyebabkan perubahan besar kepada kaedah pengurusan air dan sanitasi dengan memperkenalkan sistem rawatan air minuman dan rawatan kumbahan.

Loji kumbahan pertama dibina pada 1916 di Worcester, England. Loji itu melengkapkan putaran sistem air bandar menerusi ‘sanitasi konvensional’ yang mempunyai ciri-ciri berpusat, penggunaan paip, loji rawatan air dan loji rawatan air sisa.

Inilah juga sistem yang dianggap sebagai ‘piawai’ yang bukan saja dijadikan sebagai teras kepada disiplin ilmu sanitasi pada peringkat pengajian tinggi, malah turut diterima pakai dalam amalan profesional di seluruh dunia.

Bagaimanapun, untuk membolehkan sistem sanitasi konvensional berfungsi maka sekurang-kurangnya empat perkara diperlukan:

l Kos modal yang tinggi untuk menyediakan jaringan paip dari sumber air kepada loji rawatan air, kemudian disalurkan kepada pengguna. Selepas itu air sisa dikumpul dan dihantar ke loji rawatan kumbahan.

l Penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan semua sambungan paip dan loji rawatan berfungsi sebagaimana yang dirancang.

l Kos operasi dan penyelenggaraan tinggi.

l Sambungan paip kepada semua pengguna yang kemudian dikenakan caj perkhidmatan bulanan.

Walaupun hampir 100 tahun sistem sanitasi konvensional moden dimulakan, pelbagai penemuan dan reka cipta diperkenalkan, namun realitinya lebih 95 peratus air sisa di serata dunia dilepaskan ke sungai dan laut tanpa sebarang rawatan.

Pada awal abad ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 1.1 bilion penduduk dunia tidak mendapat kemudahan bekalan air bersih dan lebih 2.4 bilion lagi tanpa kemudahan sanitasi.

Saya bersama-sama ramai ahli profesional di serata dunia mula skeptikal terhadap keupayaan dan keberkesanan sistem sanitasi konvensional yang bukan saja mahal, malah susah untuk dilaksanakan kerana faktor kemampuan kewangan pengguna dan ketegasan dari segi penguatkuasaan.

Sehubungan itu, Najib mengemukakan gagasan ‘sanitasi lestari’ sebagai alternatif yang mudah diurus, sesuai dengan kedudukan sosio-ekonomi sesebuah masyarakat yang menggunakan tenaga dan sumber secara minimum, kesan kecil kepada alam sekitar dan guna semula.

Najib juga mencadangkan agar air sisa dan enap cemar dirawat bersama dengan sisa pepejal seperti yang mula diamalkan di Skandinavia.

Memang gagasan sanitasi lestari masih baru dan sedang dibahaskan di serata dunia. Hal sama turut menjadi harapan golongan profesional supaya sistem sanitasi lebih moden dan praktikal dapat dilaksanakan tanpa terlalu terikat kepada kaedah berpusat bersaiz besar. Selain itu, liberalisasi pasaran dan penyertaan swasta juga perlu dipergiatkan. Itulah yang menjadi fokus sehingga kerajaan menggubal undang-undang pada 2005 bagi membolehkan pengurusan air dilakukan secara lebih terancang dan mudah kendali.

Dalam hal ini, penguatkuasaan Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air pada 2006 adalah inisiatif untuk membolehkan sistem dan kaedah pengurusan air di Malaysia dilaksanakan secara lebih kompetitif dan berdaya maju.

Dengan persekitaran sedemikian barulah mudah untuk membolehkan pelbagai pembaharuan diperkenalkan termasuk gagasan yang dicadangkan Najib.

Profesor Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

No comments: