Wednesday, January 07, 2009

Mengangkasakan Pengajian Tinggi

Berita Harian - Minda Lestari 2 Jan 2009

Mengangkasakan Pengajian Tinggi

MENGANGKASA Pengajian Tinggi adalah buku terkini saya yang dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 12 Disember lalu. Pelancaran buku itu memberi petunjuk jelas kepada sektor pengajian tinggi tempatan bahawa suasana akademik perlu diperkayakan dengan percambahan idea, perkongsian maklumat dan perbahasan beradab.

Suasana akademik sedemikian menjadi prasyarat untuk meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi rantau ini. Saya mempunyai banyak sebab menulis buku ini. Selain cuba mendokumentasikan pengalaman dan pemikiran mengenai pengajian tinggi, buku itu juga adalah manifestasi tradisi ilmu yang sangat menekankan kepada budaya cetak.

Memang budaya lisan penting khususnya dalam menyampaikan syarahan atau menjelaskan sesuatu konsep ilmu atau isu. Namun, kepentingan budaya cetak lebih berkembang dalam dunia keilmuan sejak ribuan tahun lalu. Itulah faktor seseorang tokoh ilmu dikaitkan dengan hasil penulisannya, khususnya sesuatu magnum opus.

Pada hemat saya, suasana dan amalan ini agak tidak begitu menyerlah ketika ini, biarpun pelbagai dasar dan inisiatif dilancarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi di rantau ini. Untuk menjadi lebih efektif dalam proses pembudayaan ilmu pada peringkat individu dan pembentukan sesebuah komuniti akademik yang mantap, maka kita perlu berkarya, membaca dan berwacana pada tahap sewajarnya.

Menulis adalah tradisi dan rutin intelektual paling penting. Menulis adalah kemahiran ilmiah paling utama. Menulis juga perlu menjadi amalan hidup dan sinonim kepada seseorang tokoh dan pencinta ilmu, bukan saja dalam disiplin pengkhususan masing-masing, malah juga dalam soal umum membabitkan idealisme, institusi dan budaya ilmu.

Albert Einstein misalnya, bukan hanya menulis mengenai fizik dan matematik, malah turut menulis mengenai isu semasa dari perspektif ilmu dan pemikiran saintifik. Tajuk buku saya menggunakan istilah 'Mengangkasa' dalam konteks pembangunan pengajian tinggi. 'Mengangkasa' bermakna meletakkan pada kedudukan yang tinggi 'nun jauh terbang di angkasa' seperti mana angkasawan menerobos ruang atmosfera.

Istilah itu juga menunjukkan bahawa pengajian tinggi perlu diangkat ke martabat tinggi supaya kedudukan dan kepentingannya dapat dihargai, diimpikan dan dihayati semua pihak, bukan hanya di kalangan pelajar dan komuniti akademik, malah seluruh lapisan masyarakat.

Istilah 'Mengangkasa' dipopularkan oleh Datuk Seri Najib Razak, dalam ucapan dasar berjudul 'Mengangkasa Tamadun Bangsa' pada perhimpunan siasah 6 November 2007. Dengan kata lain, 'mengangkasa' adalah suatu ideal yang memerlukan transformasi menyeluruh dalam konteks memartabatkan sesebuah tamadun, termasuk pengajian tinggi negara.

Kata Najib, 'Bangsa Angkasa' ialah bangsa yang sentiasa mempunyai impian tertinggi, dan tamadun hebat. Untuk itu, kita perlu menguasai pelbagai disiplin sains dan teknologi, memiliki pengetahuan dan kemahiran, menguasai pelbagai bahasa, menjana ilmu, mengukuhkan iman, berbudaya cemerlang dan bercita-cita setinggi angkasa.

'Mengangkasa' adalah suatu pencapaian tertinggi sebagai ideal, wawasan, impian dan cita-cita. Mengangkasa juga bermakna mencapai tahap paling cemerlang, gemilang dan terbilang. Sektor pengajian tinggi di Malaysia sedang berkembang pesat, paling ketara, sejak sedekad lalu menerusi pelbagai pembaharuan dari segi dasar dan inisiatif.

Daripada hanya 10 institusi bertaraf universiti dan kolej universiti, kini angkanya menjangkau 61 buah. Perkembangan ini dirangka selari dengan keperluan pembangunan intelektual, insaniah dan sumber manusia, bukan saja untuk keperluan tempatan, malah dipacu gagasan menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi rantau ini.

Inilah latar belakang penulisan buku ini. Secara khusus, buku ini yang serba sederhana juga cuba menyorot mengenai komuniti akademik, termasuk golongan mahasiswa. Graduan ideal, seharusnya memiliki kemahiran berfikir, keupayaan berhujah, kesantaian berkomunikasi mengikut pelbagai dimensi dan perspektif, pencinta ilmu dan pemburu kebenaran, berwatakan mulia dan mahir dalam pencarian ilmu.

Dengan kemahiran ini, mereka mampu mengharungi pelbagai situasi dan memasuki pasaran kerja dengan lebih selesa berbanding graduan 'pasang siap' yang lebih menumpu kepada beberapa kemahiran teknikal dan amalan profesional tertentu yang kadangkala lemah pula dari segi kemahiran berfikir, berkomunikasi dan mesra ilmu.

Menerusi buku ini, saya mencadangkan agar semua pihak memberi tumpuan kepada pembudayaan ilmu, termasuk di kalangan komuniti akademik. Ini perlu kerana tafsiran saya mengenai intelektual lebih berfalsafah dan mungkin juga mengundang kontroversi. Saya melontarkan persoalan: Apakah semua ahli akademik adalah intelektual atau sekadar inteligensia dan pemilik ijazah pengajian tinggi saja?

Pembudayaan ilmu menjadi teras buku ini kerana pada hemat saya, sesebuah universiti berkembang dan disegani bukan hanya kerana program akademik ditawarkan atau kelayakan akademik dan profesional pensyarah yang berjela. Sebaliknya, lebih kepada pembudayaan dan persekitaran ilmiah yang merangsang minda, menguji cendekiawan, mengamit kreativiti, memacu inovasi dan yang terpenting, mesra ilmu.

Memang banyak peningkatan dalam bidang pengurusan dan pencapaian pengajian tinggi. Ketika ini kepakaran dalam hampir setiap bidang dan disiplin ilmu ada di universiti tempatan, daripada sains angkasa hingga pengajian alam mikro dan nano. Bahkan ada juga di kalangan pensyarah mengkhusus dalam disiplin ilmu yang selama ini tidak diimpikan, malah boleh dianggap kurang relevan dengan keperluan negara 20 tahun lalu, seperti gempa bumi, sejarah Amerika Latin dan pencairan ais di kutub.

Inilah yang membuatkan bidang pengajian tinggi di Malaysia semakin berkembang, didokong oleh komuniti sarjana dan pelajar yang dedikasi dan berkelayakan tinggi. Inilah juga yang memungkinkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi meletakkan wawasan dan misi 'mengangkasa' pengajian tinggi seperti terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan Perdana Menteri pada Oktober 2007.

Dengan pasrah saya menyerahkan buku ini kepada khalayak pembaca untuk sama-sama cuba mendekati ideal, memahami aspirasi dan mengangkasa pengajian tinggi, menjadikan institusi pengajian tinggi sebagai 'taman ilmu', iaitu wadah pencinta ilmu mencari, mengkaji, menambah, berkongsi, berdiskusi dan berkarya di bawah naungan dan tuntutan yang tersirat dalam ayat pertama diwahyukan: al-Iqra (bacalah!).

Prof Datuk Dr Zaini Ujang
Naib Canselor
Universiti Teknologi Malaysia dan
pengarang buku Mengangkasa Pengajian Tinggi
(Penerbit UTM, 2009)