Wednesday, November 05, 2008

Tangani krisis dengan idealisme alam sekitar

Berita Harian, Jumaat, 17 Oktober 2008
Oleh Dr Zaini Ujang
PELBAGAI laporan analisis dikemukakan terhadap punca dan kesan krisis ekonomi semasa yang bermula di Wall Street, Amerika Syarikat, menjangkau ke Eropah dan semakin menular ke Asia. Kebanyakan penganalisis menuding jari kepada sistem kewangan dan institusi perbankan Amerika Syarikat yang gagal menangani krisis pinjaman subprimer pada 2007.
Kesan krisis pinjaman subprimer memang merunsingkan sehingga institusi kewangan seteguh Merrill Lynch dan Lehman Brothers lumpuh baru-baru ini. Selain mengenal pasti punca krisis, banyak juga cadangan dikemukakan untuk mewujudkan sistem kewangan lebih lestari dan berdaya tahan.

Sistem kewangan dan perbankan Islam mula disebut-sebut sebagai lebih adil, praktikal dan lestari. Selain itu, campur tangan kerajaan juga diperlukan, tidak seperti amalan sistem ekonomi bebas - untuk memastikan pasaran dan sistem kewangan tidak terdedah kepada manipulasi golongan pemodal yang hanya mementingkan keuntungan material semata-mata.

Bahkan timbul juga persoalan mengenai asas dan kerangka ekonomi lestari yang memberi penekanan kepada keadilan sosial dan kebajikan masyarakat melebihi keuntungan kelompok pemodal yang memang sudah kaya-raya.

Persoalan berbentuk filsafat itu sedikit sebanyak membolehkan kita mengenalpasti skop serta jawapan kepada pelbagai persoalan semasa, sama ada ekonomi, kewangan, perbankan, alam sekitar dan politik menggunakan pendekatan lebih komprehensif dan bersepadu.

Pendekatan itu juga membolehkan golongan pakar dan teknikal yang selama ini sangat terikat dengan pendekatan serpihan dan keluar daripada kepompong pemikiran masing-masing supaya lebih bersikap terbuka dan holistik.

Bagi golongan pencinta alam, konsep pelestarian tidak terhad kepada krisis dan pencemaran alam sekitar. Pelestarian juga membabitkan gaya hidup, sistem berfikir, kerangka ekonomi, percaturan politik dan sistem kemasyarakatan. Lestari dalam pengertian komprehensif turut membabitkan keadilan serta kesaksamaan dari segi program pembangunan dan pembahagian kekayaan.

Saya bersetuju dengan pendapat sebahagian besar pemikir alam sekitar bahawa krisis alam sekitar khususnya dalam konteks pemanasan global disebabkan kehidupan tidak lestari yang ditunjangi sifat tamak untuk mengaut kekayaan menerusi pelbagai aktiviti 'pembangunan' walaupun menyusahkan orang lain dan menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem.

Kehidupan lestari bermakna kehidupan diasaskan kepada amalan dan gaya hidup sesuai dengan keperluan generasi sekarang dan akan datang. Dalam konteks alam sekitar misalnya, penggunaan sumber perlu dilakukan secara optimum tanpa menjejaskan keseimbangan ekosistem dan pemuliharaan flora dan fauna. Cara hidup lestari membabitkan penghayatan minda lestari dalam seluruh bidang kehidupan.

Dari segi perumahan misalnya, kehidupan lestari menganjurkan kita menggunakan bahan, sistem dan pendekatan mesra alam bermula daripada konsep reka bentuk kawasan dan bangunan perumahan, penggunaan sumber tenaga dan air, bahan murah tetapi cekap dari segi guna sumber, pencegahan hakisan tanah hinggalah aspek pembiayaan dan pakej kewangan.

Bagi pencinta alam sekitar, rumah yang ideal daripada aspek pelestarian ialah ruang digunakan secara optimum biarpun kecil untuk keperluan sesebuah keluarga menggunakan sumber tanpa pembaziran. Manipulasi pasaran dengan membeli rumah di luar kemampuan kewangan peribadi untuk dijual atau disewa pada harga jauh lebih tinggi � sebagaimana punca krisis subprimer, adalah perlakuan tidak lestari dan bercanggah dengan idealisme pencinta alam yang menitikberatkan aspek kesederhanaan.

Dari segi perkhidmatan air pula, kehidupan lestari menitik-beratkan aspek perlindungan sumber air, penjimatan penggunaan air, kaedah mapan pengumpulan dan rawatan air sisa, guna dan kitar semula dan penjimatan sumber dalam keseluruhan proses terbabit.

Aspek yang diberi keutamaan tidak hanya menjurus kepada air, malah seluruh sumber yang diperlukan untuk membolehkan sistem perkhidmatan air itu berfungsi dengan sebaiknya, seperti tenaga, teknologi, modal insan, perundangan, urus tadbir dan kewangan.

Gaya hidup dan komitmen pelestarian boleh diukur menggunakan analisis tapak ekologi. Analisis tapak ekologi bertujuan mengukur permintaan sumber alam dengan membandingkan terhadap keupayaan ekosistem untuk penghasilan semula dalam bentuk anggaran keluasan tanah dan marin diperlukan seseorang manusia apabila menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan.

Anggaran itu dibandingkan dengan keupayaan sumber alam menghasilkan semula sumber berkenaan. Aspek penompokan sisa bagi pelbagai aktiviti penghasilan, pengawetan dan pelupusan juga diambil kira. Sistem pengiraannya berasaskan keluasan tanah menggunakan unit 'hektar global' (gha) menunjukkan kesannya kepada ekosistem.

Semakin besar nilai gha maka maknanya semakin negatif kesan alam sekitar sesuatu aktiviti 'pembangunan.'

Tapak ekologi per kapita adalah kaedah untuk menentukan penggunaan secara realiti yang boleh digunakan sebagai cara mendidik orang ramai mengenai konsep keupayaan menanggung ekosistem dan lebihan penggunaan. Konsep tapak ekologi juga semakin lumrah digunakan untuk mendidik orang ramai supaya menghayati cara hidup lebih lestari.

Secara purata, setiap penduduk dunia mempunyai 1.9 gha per kapita bagi pembangunan lestari. Ketika ini tapak ekologi di Amerika Syarikat ialah 9.5, berbanding Switzerland 4, Malaysia 2.3 dan China 1.5 gha.

Dengan tahap pelestarian paling rendah di kalangan negara maju, maka tidak hairan Amerika Syarikat terdedah kepada pelbagai risiko. Di kalangan pencinta alam, Amerika Syarikat bukan saja dikenali sebagai penghasil karbon paling besar yang menyebabkan pemanasan global, malah adalah negara paling boros, membazir, tamak dan gelojoh dari segi penggunaan sumber dan manipulasi sistem kewangan.

Daripada segi angka memang Amerika Syarikat negara antara paling kaya, tetapi juga adalah negara paling banyak menyumbang kepada cara hidup yang tidak lestari.

Hal ini secara sinis diungkapkan tokoh sarjana bidang tingkah laku organisasi, Charles Handy dalam The Hungry Spirit: Beyond Capitalism - A Quest for Purpose in the Modern World (1997) bahawa sifat tamak haloba dan kerakusan dalam sistem kapitalisme membuatkan manusia hilang punca mengenai nilai dan erti kehidupan.


Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia

No comments: