Tuesday, November 25, 2008

Gagasan sanitasi lestari rawat air

Berita Harian - Minda Lestari 21 Nov 2008

SEJAK Allah SWT mencipta Nabi Adam, air adalah keperluan asas terpenting. Jutaan manusia boleh hidup tanpa cinta tetapi tidak boleh hidup tanpa air! Justeru, air adalah isu asasi dari segi ketamadunan. Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan persidangan air bagi rantau Asia Pasifik di ibu negara, Selasa lalu.

Minggu ini saja berlangsung tiga persidangan penting peringkat antarabangsa berkaitan air dan sanitasi di rantau Asia Tenggara. Pada 18 dan 19 November, Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kerjasama Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (SIS) Malaysia menganjurkan persidangan air rantau Asia Pasifik dengan kerjasama hampir semua pertubuhan dan agensi penting berkaitan.

Pada hari sama, Seminar Pilihan Sistem Sanitasi dianjurkan Persatuan Air Antarabangsa (IWA) di Hanoi, Vietnam. Sementara Persidangan Pengurusan Air dan Alam Sekitar pula dilangsungkan di Institut Teknologi Surabaya, Indonesia.
Ketiga-tiga persidangan itu dianjurkan sebagai natijah betapa isu air menjadi semakin kritikal, meskipun rantau Asia Pasifik beriklim tropika yang menerima taburan hujan lebat melebihi 2000 mm setahun. Kepentingan air semakin dirasakan dengan peningkatan proses perbandaran dan perindustrian di sekitar bandar raya utama.

Faktor yang menyebabkan isu air semakin menjadi keutamaan dalam proses pembangunan di rantau Asia Tenggara ialah pencemaran.

Walaupun ada kalanya air melimpah-ruah ketika musim hujan, sehingga menyebabkan banjir, banyak aktiviti mencemarkan sumber air menerusi empat punca utama, iaitu kumbahan, buangan industri, pembangunan tanah dan aktiviti pertanian.

Hal sama berlaku di Eropah sejak awal Revolusi Industri, dan di negara maju lain pada awal abad ke-20.

Sehingga kini, hampir seluruh dunia khususnya di negara membangun mengalami masalah sama sehingga mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan kesihatan awam.

Menurut Laporan Pembangunan Air Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kematian akibat penyakit berasaskan air dan sanitasi berjumlah 2,213,000 dan sejuta kematian akibat malaria saja pada 2003.

Sehubungan itu, pelbagai teknologi dimajukan untuk membendung pencemaran air yang diolah dalam kerangka sistem dikenali sebagai ‘sanitasi konvensional’.

Sistem sanitasi ini diilhamkan daripada peradaban lama sejak empayar Mesopotamia (3500 hingga 2500 Sebelum Masihi). Asasnya ialah pengumpulan air sisa terutama najis manusia yang disalurkan menerusi sistem pembetungan kemudian dilepaskan ke sungai atau laut.

Bagaimanapun, pelepasan ke sungai dan sumber air lain menyebabkan pelbagai penyakit merebak. Dr John Snow membuktikan bahawa taun merebak disebabkan pencemaran sumber air di London pada 1848-1854.

Ini menyebabkan perubahan besar kepada kaedah pengurusan air dan sanitasi dengan memperkenalkan sistem rawatan air minuman dan rawatan kumbahan.

Loji kumbahan pertama dibina pada 1916 di Worcester, England. Loji itu melengkapkan putaran sistem air bandar menerusi ‘sanitasi konvensional’ yang mempunyai ciri-ciri berpusat, penggunaan paip, loji rawatan air dan loji rawatan air sisa.

Inilah juga sistem yang dianggap sebagai ‘piawai’ yang bukan saja dijadikan sebagai teras kepada disiplin ilmu sanitasi pada peringkat pengajian tinggi, malah turut diterima pakai dalam amalan profesional di seluruh dunia.

Bagaimanapun, untuk membolehkan sistem sanitasi konvensional berfungsi maka sekurang-kurangnya empat perkara diperlukan:

l Kos modal yang tinggi untuk menyediakan jaringan paip dari sumber air kepada loji rawatan air, kemudian disalurkan kepada pengguna. Selepas itu air sisa dikumpul dan dihantar ke loji rawatan kumbahan.

l Penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan semua sambungan paip dan loji rawatan berfungsi sebagaimana yang dirancang.

l Kos operasi dan penyelenggaraan tinggi.

l Sambungan paip kepada semua pengguna yang kemudian dikenakan caj perkhidmatan bulanan.

Walaupun hampir 100 tahun sistem sanitasi konvensional moden dimulakan, pelbagai penemuan dan reka cipta diperkenalkan, namun realitinya lebih 95 peratus air sisa di serata dunia dilepaskan ke sungai dan laut tanpa sebarang rawatan.

Pada awal abad ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 1.1 bilion penduduk dunia tidak mendapat kemudahan bekalan air bersih dan lebih 2.4 bilion lagi tanpa kemudahan sanitasi.

Saya bersama-sama ramai ahli profesional di serata dunia mula skeptikal terhadap keupayaan dan keberkesanan sistem sanitasi konvensional yang bukan saja mahal, malah susah untuk dilaksanakan kerana faktor kemampuan kewangan pengguna dan ketegasan dari segi penguatkuasaan.

Sehubungan itu, Najib mengemukakan gagasan ‘sanitasi lestari’ sebagai alternatif yang mudah diurus, sesuai dengan kedudukan sosio-ekonomi sesebuah masyarakat yang menggunakan tenaga dan sumber secara minimum, kesan kecil kepada alam sekitar dan guna semula.

Najib juga mencadangkan agar air sisa dan enap cemar dirawat bersama dengan sisa pepejal seperti yang mula diamalkan di Skandinavia.

Memang gagasan sanitasi lestari masih baru dan sedang dibahaskan di serata dunia. Hal sama turut menjadi harapan golongan profesional supaya sistem sanitasi lebih moden dan praktikal dapat dilaksanakan tanpa terlalu terikat kepada kaedah berpusat bersaiz besar. Selain itu, liberalisasi pasaran dan penyertaan swasta juga perlu dipergiatkan. Itulah yang menjadi fokus sehingga kerajaan menggubal undang-undang pada 2005 bagi membolehkan pengurusan air dilakukan secara lebih terancang dan mudah kendali.

Dalam hal ini, penguatkuasaan Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air pada 2006 adalah inisiatif untuk membolehkan sistem dan kaedah pengurusan air di Malaysia dilaksanakan secara lebih kompetitif dan berdaya maju.

Dengan persekitaran sedemikian barulah mudah untuk membolehkan pelbagai pembaharuan diperkenalkan termasuk gagasan yang dicadangkan Najib.

Profesor Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

Tuesday, November 18, 2008

Kerjasama pendidikan serumpun dipertingkat

Oleh Dr. Zaini Ujang, Berita Harian, Jumaat 12 November 2008

Malaysia sentiasa buka peluang melanjutkan pengajian tinggi kepada siswazah dari Indonesia

HUBUNGAN akademik antara Malaysia dan Indonesia bermula sejak sekian lama. Pada era pasca merdeka, hubungan itu begitu menyerlah sekitar 1960-an. Ketika itu ramai pelajar Malaysia ke Indonesia mengikuti pengajian tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu. Menjelang awal 1970-an, ramai pensyarah Indonesia dalam bidang sains dan teknologi berkhidmat di Malaysia selepas kerajaan menubuhkan banyak universiti awam menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar.

Selepas empat dekad berlalu, kita dapat rasakan betapa hubungan akademik kedua-dua negara berjiran semakin intim dan saling memerlukan. Disebabkan kekurangan tempat di universiti tempatan, maka banyak biasiswa disediakan untuk menghantar pelajar Malaysia ke Indonesia, khususnya dalam jurusan perubatan.


Ada juga ibu bapa membiayai sendiri anak mereka mengikuti pengajian termasuk bidang pergigian, pengajian Islam, kewartawanan dan sebagainya. Menurut data terkini Kementerian Pengajian Tinggi, seramai 4,565 pelajar Malaysia mengikuti pelbagai program pengajian di Indonesia pada 2007, berbanding 5,281 di Amerika Syarikat dan 13,010 di Australia.

Pada masa sama, pelajar Indonesia membanjiri universiti tempatan khususnya pada peringkat ijazah lanjutan. Sebagai contoh pada 2004 saja, jumlah pelajar Indonesia di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ialah seramai 1,721, iaitu 30 peratus dari jumlah keseluruhan pelajar asing. Hal sama berlaku di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dengan jumlah enrolmen 4,799 iaitu 18.5 peratus. Jumlah itu terus meningkat dengan ketara pada 2008 dengan jumlah 3,614 di IPTA dan 7,024 di IPTS.

Lebih spesifik dan terkini, pelajar Indonesia menduduki tangga kedua dalam senarai pelajar antarabangsa pada peringkat ijazah lanjutan di Universiti Teknologi Malaysia. Fidahului 353 dari Iran, Indonesia (199), Libya (125), Iraq (81), Sudan (65), Yaman (61), Nigeria (39), Arab Saudi (33), Pakistan (22), Khazastan (17), China (13) dan selebihnya dari lebih 20 negara lain termasuk Jerman, United Kingdom, Perancis, Maghribi, Oman, Palestin, Syria, Somalia, Turki dan Uganda.


KECEMERLANGAN pusat pengajian tinggi tempatan menjadi tumpuan pelajar asing melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang.

Kehadiran pelajar Indonesia di IPTA khususnya pada peringkat ijazah lanjutan - berlainan dengan profil dan kerangka kerja dengan negara lain. Sebahagian besar pelajar diterima belajar di IPTA menerusi kerangka kerjasama antara universiti Malaysia dan Indonesia dari segi pertukaran staf, latihan akademik dan penyelidikan.

Sebahagian felo pasca kedoktoran di IPTA adalah staf akademik dari Indonesia. Sebenarnya hubungan sinergi, setiakawan dan jalinan akrab memang sedia terukir dalam kerangka wawasan akademik yang semakin kukuh.

Seperti Malaysia, universiti terkemuka di Indonesia juga sedang mempergiatkan usaha menambah bilangan staf berkelulusan PhD dan menjalin kerjasama akademik dalam pelbagai bidang dalam kerangka pengantarabangsaan, khususnya dengan tetangga di Malaysia. Selain dari Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Belanda, Belgium, Jerman, Australia dan Kanada, Malaysia adalah destinasi paling murah dan lumrah ketika ini.

Selasa lalu, saya diundang menghadiri majlis ulang tahun ke-48 Institut Teknologi Sepuluh November, Surabaya (ITS). Pada majlis itu, saya turut menerima Anugerah Antarabangsa Kerjasama Akademik daripada institut berkenaan.

Kerjasama pelbagai dimensi memang sudah terjalin sejak awal 1990-an lagi. Undangan itu mempererat hubungan kerjasama sedia terjalin antara ITS dengan UTM khususnya dalam bidang kejuruteraan alam sekitar, teknologi marin, kejuruteraan kimia dan teknologi maklumat.

Selain daripada pertukaran staf dan pelajar, kedua-dua universiti turut mengesahkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pertukaran staf khususnya untuk program peringkat pasca kedoktoran, penerbitan ilmiah dalam jurnal prestij sehingga kesediaan untuk membangunkan harta intelek bersama.

Pada majlis itu, di hadapan Presiden Indonesia yang diwakili Menteri Komunikasi dan Informasi, Profesor Muhammad Nuh, dan Gabenor Jawa Timur, termetrai satu lagi mercu tanda keutuhan dan kesetikawanan bukan saja antara UTM dan ITS, malah sebenarnya antara dua negara tetangga, Malaysia dan Indonesia yang sebenarnya tidak jauh berbeza dari segi cita-cita dan agenda sebagai bangsa serumpun.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran politik dan sosioekonomi global, kedua-dua negara perlu membangunkan modal insan lebih berkualiti. Selain itu, keupayaan untuk membina kepakaran dan harta intelek yang dijalin dengan semangat keusahawanan tinggi menjadi semakin mendesak dalam dunia penuh persaingan.

Hal ini dipersulitkan lagi dengan kepupusan sumber alam berkualiti termasuklah sumber air dan kepelbagaian biologi, dan kesan pencemaran alam sekitar yang menjejaskan kesihatan awam. Pasaran bebas tajaan WTO yang sebenarnya lebih memihak kepada negara maju label mesra alam, memenuhi standard antarabangsa, hak asasi manusia, eksploitasi buruh dan banyak isu lain turut dijadikan syarat kemasukan ke pasaran tertentu juga mengehadkan pasaran barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan negara membangun, termasuk Malaysia dan Indonesia.

Di sinilah perlu jaringan dan kerangka akademik yang mantap khususnya dengan negara tetangga untuk sama-sama membangunkan modal insan yang boleh memacu pembangunan lestari. Kita juga memerlukan kerjasama supaya isu berkaitan perdagangan, alam sekitar dan hak asasi ditangani bukan saja dalam dimensi politik dan diplomasi tetapi juga secara lebih akademik dengan wacana intelektual.

Dalam hal ini, kedua-dua negara saling memerlukan. Pensyarah dan pelajar Indonesia secara umumnya lebih mudah untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran akademik di Malaysia, berbanding warga negara lain. Dengan jarak destinasi tidak jauh dan kuasa beli yang secara relatif lebih tinggi, komuniti akademik Malaysia lebih santai menjalin kerjasama dan berkunjung ke Indonesia dalam pelbagai program akademik dan jaringan kerja.

Sekadar catatan, Timbalan Presiden Indonesia, Yusof Kalla berkunjung ke Johor tiga tahun lalu. Pada kesempatan itu, beliau sempat beramah-mesra dengan saudara maranya dari keturunan Bugis yang bermastautin di daerah Pontian yang pernah dikunjungi 25 tahun sebelumnya.

Pada suatu majlis pada pagi Jumaat, Yusuf menyebut betapa rakyat Indonesia dan Malaysia mempunyai hubungan luar biasa, tidak sama seperti hubungan dua negara lain di dunia ini. Katanya; "Kita bersaudara bukan saja dari segi keturunan dan rumpun bangsa, tetapi juga bahasa dan agama."

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Monday, November 10, 2008

Dasar Alam Sekitar Malaysia - Tinjaun Kritis

Oleh Zaini Ujang, Seminar Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), 10 Mei 2008

Kertas ini membincangkan lima isu berkaitan dasar alam sekitar di Malaysia, iaitu (a) sejarah perkembangan dan aktivisme politik, (b) dasar-dasar utama alam sekitar di malaysia, (c) tinjauan kritis terhadap dasar-dasar utama tersebut, (d) cabaran dan strategi supaya memantapkan lagi dasar ke arah pembentukan minda lestari dan budaya hidup mesra alam, (e) minda lestari sebagai suatu pendekatan meningkatkan kesedaran awal terhadap pelestarian alam sekitar menerusi transformasi pemikiran dan gaya hidup. perlu ditegaskan bahawa yang tersurat ini lebih bersifat peribadi, hasil pengamatan penulis yang juga terlibat–tidak hanya sebagai ahli akademik yang bertapa di menara gading–sebagai aktivis, penyelidik, perunding, promotor, penulis, perancang dan pengubal dasar berkaitan pengurusan alam sekitar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Baca selanjutnya di sini: Dasar Alam Sekitar Malaysia. Manakala paparan pembentangan boleh dimuat-turun dari sini: Dasar Alam Sekitar Malaysia (Pembentangan).

Sunday, November 09, 2008

Obama diharap wujud masa depan dunia gagasan hijau

Berita Harian - Jumaat, 7 Nov 2008
Oleh Dr Zaini Ujang

Bangun semula ekonomi menerusi iltizam baru mampu ubah dasar Amerika Syarikat dalam konteks persekitaran
KEMENANGAN besar Barack Obama pada pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS), kelmarin disambut meriah oleh pengundi dan penyokongnya di serata dunia. Bahkan aktivis alam sekitar dan pendukung gagasan pelestarian turut bergembira dengan kemenangan besar Barack Obama pada pemilihan Presiden AS dan mengharapkan perubahan besar kepada dasar AS dalam konteks persekitaran dan kehidupan global lebih baik dan lestari.


Obama adalah salah seorang pemimpin yang bersetuju bersama-sama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membangunkan semula ekonomi dunia menerusi Iltizam Baru Hijau (Green New Deal). Pemimpin lain yang turut serta, antaranya Perdana Menteri Britain Gordon Brown dan Presiden Perancis Nicolas Sarkozy.

Iltizam itu bertujuan untuk memulakan satu sistem ekonomi dan kerangka pembangunan lebih lestari, berteraskan ekonomi terkawal, berpaksikan ‘keperluan’ bukan ‘kehendak’ dan berasaskan gagasan hijau. Iltizam itu dirangka sebagai reaksi kepada keadaan ekonomi dunia yang semakin tidak menentu ekoran kesan krisis kewangan semasa yang bermula di Wall Street yang sudah menjangkau ke benua Eropah dan semakin menular ke Asia.

Hampir semua laporan penganalisis menyalahkan sistem kewangan dan institusi perbankan AS yang gagal menangani krisis pinjaman subprimer pada 2007 sehingga melumpuhkan institusi kewangan seteguh Merrill Lynch dan Lehman Brothers pada September lalu.

Selain mengenal pasti punca krisis, banyak mekanisme dan gagasan baru dikemukakan untuk mewujudkan sistem kewangan lebih lestari dan ekonomi dunia berdaya tahan. Sistem kewangan dan perbankan alternatif, termasuklah sistem Islam mula dikemukakan untuk membentuk suasana global lebih adil, seimbang dan lestari. Selain itu, dasar dan gagasan ekonomi lestari juga dibincangkan sehingga termeterai Iltizam Baru Hijau yang turut dipersetujui Obama, minggu lalu.

Pada hemat saya, inilah masa paling sesuai dan strategik untuk kita memulakan iltizam dan kerangka baru. Ketika banyak negara mengalami krisis ekonomi - sesetengah pihak menyamakannya seperti Kemelesetan Besar ketika pentadbiran Presiden Franklin Roosevelt dulu - Iltizam Baru Hijau merupakan resipi yang diharap dapat membangunkan semula persekitaran ekonomi dan kehidupan global yang dinamik dan berterusan. Perdana Menteri Jepun, Taso Aso pula menggesa semua pihak agar mengambil ‘kesempatan besar ini untuk memulakan perkembangan baru’ bagi membentuk ‘masyarakat rendah-karbon’.

Dalam konteks AS, sektor teknologi maklumat menjadi pemangkin utama pada awal 1990-an. Bagaimanapun kerakusan pelabur menerusi skim modal rintis (venture capital) menyebabkan pasaran kewangan terjejas teruk.

Kemudian sektor hartanah menjadi pemangkin ekonomi bukan saja di AS bahkan di negara Eropah dan Asia, khususnya di Britain dan China. Akibat pergantungan kepada pinjaman bank mengatasi keupayaan untuk membayar menyebabkan pasaran hartanah merudum teruk sehingga mencetuskan krisis subprimer tahun lalu.

Untuk menjayakan Iltizam Baru Hijau, pemangkin ekonomi baru yang lestari diperlukan. Dengan pengurangan pasaran kewangan sebanyak satu pertiga ketika ini berbanding awal tahun lalu maka pelabur akan lebih berhati-hati dan selektif.

Selain mengharapkan pembabitan pasaran kewangan, itizam baru itu mensasarkan komitmen kerajaan untuk menyediakan dana memulakan inisiatif besar khususnya industri teknologi bersih. Dan itulah komitmen yang diberikan Obama.

Hal ini selaras dengan inisiatif mengurangkan kesan pemanasan global dan pembangunan ekonomi yang memberi impak besar kepada kemajuan warga dunia, bukan hanya memuaskan kehendak pelabur dan spekulator saham di Wall Street.

Selain itu, Iltizam Baru Hijau itu juga perlu mengambil kira peratus pengangguran yang sedang meningkat di serata dunia. Di Eropah saja, sebagai contoh, pengangguran dijangka meningkat daripada 11.3 juta kepada 14.5 juta pada akhir tahun ini. Sementara itu, kadar pengangguran di AS dijangka meningkat daripada 6.1 peratus kepada lapan peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempuh 25 tahun.

Dalam manifestonya, Obama menyatakan komitmen untuk menangani krisis ekonomi semasa menggunakan pendekatan hijau dan lestari. Sebagai contoh, Obama akan memulakan inisiatif untuk membuat pelaburan strategik AS$150 bilion selama 10 tahun dalam ekonomi tenaga bersih bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada lima juta orang.

Obama juga berjanji untuk mempercepatkan proses pengkomersialan kereta hibrid, projek tenaga alternatif, penjimatan tenaga, loji arang batu bersih dan biofuel. Selain itu, Obama juga akan menyediakan program latihan khas untuk membolehkan pekerja dilatih sebelum menceburi industri hijau dan penghasilan produk hijau.

AS sebenarnya sudah jauh ketinggalan dalam konteks komitmen hijau, berbanding Eropah dan Jepun. Ketika ini Jerman telah melabur AS$240 bilion dalam industri tenaga alternatif yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 250,000 orang.

Menjelang 2020, jumlah itu dijangka meningkat mengatasi jumlah pekerja sektor pengeluaran automobil yang ketika ini tertinggi di Jerman. Britain pula akan melabur AS$100 bilion untuk menyediakan 7,000 turbin angin menjelang 2020 menyediakan 160,000 pekerjaan.

Perkembangan politik-ekonomi mutakhir ini memang sukar dijangka. Harga minyak di pasaran dunia terus menurun dan dijangka akan sampai ke paras AS$40 menyebabkan ketidaktentuan pula di kalangan pengeluar minyak, terutama di Asia Barat. Hal ini mungkin menyebabkan gesaan untuk menggunakan tenaga alternatif tidak begitu mendesak. Menurut jangkaan Agensi Tenaga Antarabangsa, sebanyak AS$45 trilion diperlukan menjelang 2050 untuk mengurangkan 50 peratus penghasilan karbon dioksida.

Pelantikan Obama sebagai Presiden AS diharap memberi nafas baru kepada masa depan dunia lebih lestari, biarpun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi.

Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Source: Berita Harian, Rencana -Minda Lestari (Jumaat, 7 Nov 2008)

Wednesday, November 05, 2008

Mempromosi kepakaran Malaysia ke luar negara

Berita Harian, Jumaat, 31 Oktober 2008

Oleh Dr Zaini Ujang

Amalan kerja, keunikan tempatan boleh dikongsi profesional antarabangsa dalam pelbagai bidang

SALAH satu sifat terpuji rakyat Malaysia ialah merendah diri dan tidak suka memperagakan kebolehannya. Kedua-dua sifat itu selari dengan ajaran semua agama, apatah lagi Islam yang menganjurkan umatnya bersifat tawaduk yang berlawanan dengan sifat tercela seperti ego, sombong dan bangga diri.

Sifat terpuji rakyat Malaysia itu terserlah dalam dewan kuliah, kamar perbincangan, bilik mesyuarat dan ruang seminar. Biasanya orang Malaysia tidak lantang apatah lagi berbangga menyatakan bahawa sistem, kaedah dan amalan mereka terbaik yang wajar diteladani orang lain.

Hal ini juga terbawa-bawa kepada amalan profesional dalam pelbagai bidang. Tidak seperti bangsa Inggeris, Jepun dan Amerika, orang Malaysia tidak terbiasa dengan istilah 'amalan terbaik' atau 'standard kami' dalam sesuatu disiplin ilmu atau amalan profesional. Kalau pun ada, biasanya hanya disebut sebagai garis panduan atau prosedur biasa yang tidak menampakkan rasa bangga dan yakin dengan kebolehan, amalan dan sistem yang kita bina sekian lama.

Hal ini saya kemukakan kerana ketika ini saya terbabit di dalam dua inisiatif 'amalan terbaik' dalam bidang rawatan air minum dan standard serta piawaian peralatan dan teknologi air. Seperti biasa, kumpulan kami menamakannya 'garis panduan'. Saya dimaklumkan bahawa 'garis panduan' dalam konteks pentadbiran pelbagai agensi di Malaysia adalah satu peraturan yang wajib diamalkan. 'Panduan' itu bermaksud 'standard' yang tidak mempunyai peruntukan perundangan dari segi amalannya.

Saya membangkitkan hal ini kerana banyak 'garis panduan' yang diguna pakai di Malaysia sudah lama dirangka dan dilaksanakan (ini tidak termasuk standard dan piawai yang dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia). Sesetengah garis panduan sudah ada perulangan edisi baru selepas mengambil kira pelbagai perkembangan dan keperluan terkini. Maknanya kita mempunyai prosedur dan amalan terbaik dikemaskini dan diguna pakai dengan meluas.

Di negara maju, khususnya Amerika dan Britain, garis panduan itu dikenali sebagai 'kod amalan' atau 'amalan terbaik'. Kod amalan mempunyai konotasi perundangan yang perlu diguna pakai ahli profesional. Amalan terbaik pula adalah prosedur yang boleh membantu mempertingkatkan keberkesanan dan keberkesanan sesuatu bidang tugas.

Dalam era globalisasi ini, amalan terbaik digunakan dengan meluas di serata dunia. Jika sesebuah syarikat ingin mengambil bahagian dalam projek pembangunan atau menyediakan perkhidmatan profesional maka amalan terbaik menjadi salah satu keperluan. Banyak negara membangun mengguna pakai garis panduan yang disediakan oleh agensi antarabangsa.

Dalam bidang bekalan air minum, misalnya, garis panduan yang disediakan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) � terbaru menerusi edisi keempat � digunakan dengan meluas, termasuk di Malaysia. Namun demikian, garis panduan itu tidak terperinci dan tidak disokong peruntukan perundangan. Selain itu, garis panduan agensi antarabangsa bersifat generik dan hanya merangkumi aspek utama, misalnya dari segi kualiti, parameter penting dan penyampaian perkhidmatan.

Aspek lain yang lebih terperinci seperti kaedah penyelenggaraan loji, pengurusan aset, pemantauan kualiti dan sebagainya perlu dirujuk kepada manual atau amalan terbaik disediakan pelbagai badan profesional atau agensi penguat kuasa. Hal sama telah dilaksanakan di Malaysia dalam pelbagai bidang, termasuk pengurusan alam sekitar, perkhidmatan air, sisa pepejal sehinggalah pengurusan kualiti pengajian tinggi.

Namun demikian, kita jarang mengemukakan amalan terbaik dan manual itu pada peringkat antarabangsa. Hal ini mungkin disebabkan sebahagiannya disediakan dalam bahasa Melayu dan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan. Selain itu, kita jarang menulis 'model' atau 'amalan' di Malaysia dalam jurnal akademik berjenama atau menulis buku diterbitkan penerbit antarabangsa.

Oleh itu, kita perlu inisiatif berganda mengetengahkannya ke peringkat antarabangsa sebagai suatu alternatif kepada amalan terbaik dan manual disediakan badan profesional dari negara maju.

Hal ini saya timbulkan kerana banyak negara membangun cuba mempelajari dan mengguna pakai model pengurusan dan teknologi dimajukan di Malaysia kerana bersifat lebih praktikal berbanding dengan model dibangunkan di negara maju. Model Malaysia biasanya mengambil kira pelbagai aspek dan realiti seperti pembangunan kepakaran tempatan, inisiatif berasaskan penyelidikan dan kemampuan penyelenggaraan dengan biaya yang terbatas.

Hal ini begitu ketara dari segi skim bekalan air luar bandar dan perkhidmatan pembetungan secara tidak berpusat (decentralised sewage treatment system). Banyak negara dan profesional negara membangun begitu berminat untuk mencontohi model Malaysia khususnya dalam aspek penyediaan kemudahan dengan mengambil kira faktor kemampuan pengguna yang terbatas untuk membayar perkhidmatan disediakan. Selain itu, keupayaan syarikat tempatan membangunkan kepakaran untuk merekabentuk, membina dan menyelenggara kemudahan canggih juga hampir setanding negara maju.

Sehubungan itu, saya mencadangkan agar pihak kerajaan memberi perhatian lebih serius terhadap promosi kepakaran Malaysia kepada negara lain. Promosi ini perlu dilakukan dengan mengambil kira lima cara aspek berikut:

  • Memberi mandat dan biaya kepada badan profesional tempatan untuk menyedia atau mengemas kini dokumen kod amalan dan amalan terbaik dalam pelbagai bidang

  • Mengguna pakai dokumen tersebut dalam pentadbiran dan pengurusan

  • Membangunkan modal insan dan kepakaran tempatan dengan cara memberi peluang kepada syarikat dan kepakaran tempatan untuk melaksanakan projek bernilai inovatif dan bukan konvensional

  • Menulis pengalaman dan amalan terbaik itu dalam genre penerbitan berjenama peringkat antarabangsa

  • Mempromosi kepakaran Malaysia kepada negara lain menerusi syarikat, universiti dan dokumen berkaitan kod amalan profesional tempatan.

    Kita juga perlu melaksanakan strategi serampang tiga mata iaitu melaksanakan projek dengan berjaya, membangunkan kepakaran tempatan dan menjadikan projek dan kepakaran tersebut sebagai testimoni untuk melangkah ke pasaran dan cabaran global. Pada hemat saya, pelaksanaan semua projek mega mestilah disyaratkan mempunyai inovasi yang menampakkan citra dan daya kreativiti Malaysia.

    Strategi itu membabitkan penggunaan teknologi dan pengetahuan terkini menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengatasi pelbagai masalah semasa dengan kerjasama erat antara universiti dan industri, sekali gus meningkatkan kemahiran, kecekapan dan daya saing di kalangan profesional untuk menghadapi cabaran di pentas antarabangsa.

    Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
  • Urus ekosistem tasik perlu sistematik, lestari

    Berita Harian, Jumaat, 24 Oktober 2008

    Oleh Dr Zaini Ujang

    'VARSITY Boat Race' yang berlangsung meriah pada 16 hingga 18 Oktober lalu anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Teknologi Malaysia, adalah antara aktiviti air tahunan Tasik Putrajaya yang perlu dimasukkan dalam kalendar aktiviti pelancongan negara.

    Acara yang berlangsung tiga tahun, diilhamkan menerusi pertandingan tahunan antara Universiti Oxford dan Cambridge di Sungai Thames itu, sudah menjadi medan utama melahirkan jaguh sukan kayak dan perahu lumba di kalangan negara Asean.

    Peserta dari lima negara dan 17 universiti tempatan, bukan saja mewakili universiti masing-masing malah sebahagiannya turut mewakili negara pada kejohanan Sukan Sea di Korat, Thailand tahun lalu. Selain itu, pertandingan berkenaan memberi imej baru kepada ekosistem tasik di Malaysia, khususnya tasik buatan seperti di Putrajaya.

    Realitinya, tasik adalah salah satu komponen penting dalam landskap Malaysia. Kebanyakan tasik di Malaysia unik kerana tidak terbentuk menerusi proses semula jadi tetapi menerusi tinggalan aktiviti perlombongan dan pembinaan empangan air sama ada untuk tujuan bekalan air minuman, penjanaan tenaga dan pengairan.

    Sebagai negara yang menerima hujan kelebatan melebihi 2000mm setahun, maka peranan tasik, khususnya tasik buatan, tidak terhad kepada fungsi hidrologi untuk menampung limpahan air larian bandar dan hutan. Tasik juga membentuk ekosistem tersendiri dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna tropika. Jika diuruskan dengan baik, potensi tasik boleh diperluas dan dikembangkan lagi untuk pelbagai tujuan lain seperti rekreasi, eko-pelancongan, perikanan dan sumber air.

    Namun demikian, pada hemat saya, kita masih belum memanfaatkan potensi tasik sebaiknya. Dalam banyak keadaan, tasik bagaikan hidup segan mati tak mahu, kecuali tasik dalam konteks empangan air dan tasik yang dimajukan di kawasan strategik seperti di Putrajaya dan Titiwangsa.

    Tasik lain nampaknya menunggu masa untuk dinilai semula peranannya, sama ada dikambus dijadikan tapak kawasan 'pembangunan' atau dibiarkan sehingga fenomena eutrofikasi berlaku dengan serius. (Eutrofikasi ialah status penanda aras tasik yang mengalami penambahan ketara bahan nutrien yang akhirnya menggalakkan pertumbuhan rumpai air sehingga memenuhi dasar dan permukaan tasik).

    Keadaan ini menyebabkan ekosistem tasik tidak lagi seimbang, pengurangan kandungan oksigen dan kepupusan hidupan air khususnya ikan. Pada hemat saya, punca utama kebanyakan tasik di negara ini terbiar atau tidak diuruskan dengan lestari disebabkan tidak ada dasar yang jelas untuk menentukan mekanisme dan tatacara pengurusan tasik.

    Pihak yang berhasrat menguruskan tasik secara lestari terpaksa menentukan sendiri mekanisme, termasuk kaedah pengurusan dan sumber kewangan dan dalam banyak keadaan tanpa sokongan agensi awam. Itulah sebabnya pihak swasta sahaja setakat ini yang berjaya menguruskan tasik dengan baik dalam sesuatu kawasan perumahan atau rekreasi.

    Sehingga kini hampir semua pihak berkuasa kerajaan tempatan, kecuali Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, sering kali menemui jalan buntu untuk mengurus dan memajukan tasik. Hanya kerja penyelenggaraan biasa saja yang mampu dilakukan seperti pengindahan lanskap persekitaran tasik, tetapi ekosistem dan kualiti air tidak dilestarikan.

    Selain itu, banyak pihak mengurus tasik hampir serupa dengan mengurus sungai atau pantai. Ini salah dari segi prinsip kejuruteraan dan ekologi kerana ekosistem tasik jauh berbeza dengan jasad air dinamik seperti sungai atau pantai.

    Air tasik tidak mengalir dan apa saja bahan cemar yang masuk ke tasik akan berada dalam tasik itu hingga reput secara semula jadi. Jika tidak mereput, maka bahan cemar terbabit kekal dalam tasik. Ekosistem sesebuah tasik juga unik dan berbeza dengan tasik lain.

    Inilah faktor yang menyebabkan banyak tasik nampak seakan-akan tidak terurus, terbiar dan akhirnya terpaksa dikambus kerana membahayakan penduduk sekitar dan menyakitkan mata memandang, bagi memberi laluan kepada projek pembangunan lain di tapak berkenaan. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan, akan mengurangkan keluasan tasik yang boleh dimajukan untuk memenuhi keperluan asas penduduk bandar dari segi rekreasi dan penebatan banjir.

    Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan agar pihak kerajaan mengambil langkah proaktif menangani masalah pengurusan ekosistem tasik secara lebih sistematik menerusi dasar dan mekanisme tasik secara lebih komprehensif seperti dilakukan Perbadanan Putrajaya. Cadangan ini sebenarnya sudah dikemukakan kepada pihak kerajaan menerusi laporan akhir projek penyelidikan pengurusan tasik oleh UTM, tajaan Akademi Sains Malaysia pada 2006.

    Menerusi dasar dan mekanisme itu, maka dapatlah pelbagai pihak, khususnya pihak berkuasa kerajaan tempatan, menjadikan ekosistem tasik sebagai salah satu komponen penting alam sekitar yang diuruskan dengan lestari. Selain itu, pelbagai projek pembangunan dan guna tanah di sekitar tasik yang dilakukan atas nama 'pembangunan' akuakultur, eko-pelancongan dan rekreasi dapat dirancang dengan lebih baik agar tidak mencemarkan ekosistem tasik.

    Menerusi sistem dan mekanisme pengurusan lestari, maka potensi tasik sebagai pusat kegiatan eko-pelancongan, rekreasi, akuakultur, bekalan air dan sebagainya dapat dioptimumkan. Hal ini boleh direalisasikan menerusi penubuhan satu unit khas di Jabatan Alam Sekitar yang menjalankan kerja pengelasan, pemantauan kualiti dan pengurusan ekosistem tasik.

    Selain itu, dana yang mencukupi perlu disediakan untuk mengurus dan memulihkan tasik yang mengalami pencemaran agar fungsinya sebagai sebuah ekosistem seimbang dapat dibangunkan. Di samping itu, universiti tempatan boleh membantu menerusi penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan ekosistem tasik.

    Jika diuruskan dengan baik, saya yakin, potensi tasik boleh dikembangkan lagi untuk tujuan rekreasi, eko-pelancongan, perikanan dan sumber air. Dengan ada tasik yang indah, Putrajaya sebagai contoh, bukan hanya berseri dengan seni bina bangunan indah dan lanskap terhampar kehijauan, malah didinginkan dengan kebiruan tasik kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna, serta ekosistem lestari. Dan acara seperti 'Varsity Boat Race' akan menambah kemeriahan dan merancakkan lagi irama hidup warga Putrajaya sebagai bandar pintar dan ekosistem lestari.

    Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

    Tangani krisis dengan idealisme alam sekitar

    Berita Harian, Jumaat, 17 Oktober 2008
    Oleh Dr Zaini Ujang
    PELBAGAI laporan analisis dikemukakan terhadap punca dan kesan krisis ekonomi semasa yang bermula di Wall Street, Amerika Syarikat, menjangkau ke Eropah dan semakin menular ke Asia. Kebanyakan penganalisis menuding jari kepada sistem kewangan dan institusi perbankan Amerika Syarikat yang gagal menangani krisis pinjaman subprimer pada 2007.
    Kesan krisis pinjaman subprimer memang merunsingkan sehingga institusi kewangan seteguh Merrill Lynch dan Lehman Brothers lumpuh baru-baru ini. Selain mengenal pasti punca krisis, banyak juga cadangan dikemukakan untuk mewujudkan sistem kewangan lebih lestari dan berdaya tahan.

    Sistem kewangan dan perbankan Islam mula disebut-sebut sebagai lebih adil, praktikal dan lestari. Selain itu, campur tangan kerajaan juga diperlukan, tidak seperti amalan sistem ekonomi bebas - untuk memastikan pasaran dan sistem kewangan tidak terdedah kepada manipulasi golongan pemodal yang hanya mementingkan keuntungan material semata-mata.

    Bahkan timbul juga persoalan mengenai asas dan kerangka ekonomi lestari yang memberi penekanan kepada keadilan sosial dan kebajikan masyarakat melebihi keuntungan kelompok pemodal yang memang sudah kaya-raya.

    Persoalan berbentuk filsafat itu sedikit sebanyak membolehkan kita mengenalpasti skop serta jawapan kepada pelbagai persoalan semasa, sama ada ekonomi, kewangan, perbankan, alam sekitar dan politik menggunakan pendekatan lebih komprehensif dan bersepadu.

    Pendekatan itu juga membolehkan golongan pakar dan teknikal yang selama ini sangat terikat dengan pendekatan serpihan dan keluar daripada kepompong pemikiran masing-masing supaya lebih bersikap terbuka dan holistik.

    Bagi golongan pencinta alam, konsep pelestarian tidak terhad kepada krisis dan pencemaran alam sekitar. Pelestarian juga membabitkan gaya hidup, sistem berfikir, kerangka ekonomi, percaturan politik dan sistem kemasyarakatan. Lestari dalam pengertian komprehensif turut membabitkan keadilan serta kesaksamaan dari segi program pembangunan dan pembahagian kekayaan.

    Saya bersetuju dengan pendapat sebahagian besar pemikir alam sekitar bahawa krisis alam sekitar khususnya dalam konteks pemanasan global disebabkan kehidupan tidak lestari yang ditunjangi sifat tamak untuk mengaut kekayaan menerusi pelbagai aktiviti 'pembangunan' walaupun menyusahkan orang lain dan menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem.

    Kehidupan lestari bermakna kehidupan diasaskan kepada amalan dan gaya hidup sesuai dengan keperluan generasi sekarang dan akan datang. Dalam konteks alam sekitar misalnya, penggunaan sumber perlu dilakukan secara optimum tanpa menjejaskan keseimbangan ekosistem dan pemuliharaan flora dan fauna. Cara hidup lestari membabitkan penghayatan minda lestari dalam seluruh bidang kehidupan.

    Dari segi perumahan misalnya, kehidupan lestari menganjurkan kita menggunakan bahan, sistem dan pendekatan mesra alam bermula daripada konsep reka bentuk kawasan dan bangunan perumahan, penggunaan sumber tenaga dan air, bahan murah tetapi cekap dari segi guna sumber, pencegahan hakisan tanah hinggalah aspek pembiayaan dan pakej kewangan.

    Bagi pencinta alam sekitar, rumah yang ideal daripada aspek pelestarian ialah ruang digunakan secara optimum biarpun kecil untuk keperluan sesebuah keluarga menggunakan sumber tanpa pembaziran. Manipulasi pasaran dengan membeli rumah di luar kemampuan kewangan peribadi untuk dijual atau disewa pada harga jauh lebih tinggi � sebagaimana punca krisis subprimer, adalah perlakuan tidak lestari dan bercanggah dengan idealisme pencinta alam yang menitikberatkan aspek kesederhanaan.

    Dari segi perkhidmatan air pula, kehidupan lestari menitik-beratkan aspek perlindungan sumber air, penjimatan penggunaan air, kaedah mapan pengumpulan dan rawatan air sisa, guna dan kitar semula dan penjimatan sumber dalam keseluruhan proses terbabit.

    Aspek yang diberi keutamaan tidak hanya menjurus kepada air, malah seluruh sumber yang diperlukan untuk membolehkan sistem perkhidmatan air itu berfungsi dengan sebaiknya, seperti tenaga, teknologi, modal insan, perundangan, urus tadbir dan kewangan.

    Gaya hidup dan komitmen pelestarian boleh diukur menggunakan analisis tapak ekologi. Analisis tapak ekologi bertujuan mengukur permintaan sumber alam dengan membandingkan terhadap keupayaan ekosistem untuk penghasilan semula dalam bentuk anggaran keluasan tanah dan marin diperlukan seseorang manusia apabila menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan.

    Anggaran itu dibandingkan dengan keupayaan sumber alam menghasilkan semula sumber berkenaan. Aspek penompokan sisa bagi pelbagai aktiviti penghasilan, pengawetan dan pelupusan juga diambil kira. Sistem pengiraannya berasaskan keluasan tanah menggunakan unit 'hektar global' (gha) menunjukkan kesannya kepada ekosistem.

    Semakin besar nilai gha maka maknanya semakin negatif kesan alam sekitar sesuatu aktiviti 'pembangunan.'

    Tapak ekologi per kapita adalah kaedah untuk menentukan penggunaan secara realiti yang boleh digunakan sebagai cara mendidik orang ramai mengenai konsep keupayaan menanggung ekosistem dan lebihan penggunaan. Konsep tapak ekologi juga semakin lumrah digunakan untuk mendidik orang ramai supaya menghayati cara hidup lebih lestari.

    Secara purata, setiap penduduk dunia mempunyai 1.9 gha per kapita bagi pembangunan lestari. Ketika ini tapak ekologi di Amerika Syarikat ialah 9.5, berbanding Switzerland 4, Malaysia 2.3 dan China 1.5 gha.

    Dengan tahap pelestarian paling rendah di kalangan negara maju, maka tidak hairan Amerika Syarikat terdedah kepada pelbagai risiko. Di kalangan pencinta alam, Amerika Syarikat bukan saja dikenali sebagai penghasil karbon paling besar yang menyebabkan pemanasan global, malah adalah negara paling boros, membazir, tamak dan gelojoh dari segi penggunaan sumber dan manipulasi sistem kewangan.

    Daripada segi angka memang Amerika Syarikat negara antara paling kaya, tetapi juga adalah negara paling banyak menyumbang kepada cara hidup yang tidak lestari.

    Hal ini secara sinis diungkapkan tokoh sarjana bidang tingkah laku organisasi, Charles Handy dalam The Hungry Spirit: Beyond Capitalism - A Quest for Purpose in the Modern World (1997) bahawa sifat tamak haloba dan kerakusan dalam sistem kapitalisme membuatkan manusia hilang punca mengenai nilai dan erti kehidupan.


    Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia