Tuesday, November 18, 2008

Kerjasama pendidikan serumpun dipertingkat

Oleh Dr. Zaini Ujang, Berita Harian, Jumaat 12 November 2008

Malaysia sentiasa buka peluang melanjutkan pengajian tinggi kepada siswazah dari Indonesia

HUBUNGAN akademik antara Malaysia dan Indonesia bermula sejak sekian lama. Pada era pasca merdeka, hubungan itu begitu menyerlah sekitar 1960-an. Ketika itu ramai pelajar Malaysia ke Indonesia mengikuti pengajian tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu. Menjelang awal 1970-an, ramai pensyarah Indonesia dalam bidang sains dan teknologi berkhidmat di Malaysia selepas kerajaan menubuhkan banyak universiti awam menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar.

Selepas empat dekad berlalu, kita dapat rasakan betapa hubungan akademik kedua-dua negara berjiran semakin intim dan saling memerlukan. Disebabkan kekurangan tempat di universiti tempatan, maka banyak biasiswa disediakan untuk menghantar pelajar Malaysia ke Indonesia, khususnya dalam jurusan perubatan.


Ada juga ibu bapa membiayai sendiri anak mereka mengikuti pengajian termasuk bidang pergigian, pengajian Islam, kewartawanan dan sebagainya. Menurut data terkini Kementerian Pengajian Tinggi, seramai 4,565 pelajar Malaysia mengikuti pelbagai program pengajian di Indonesia pada 2007, berbanding 5,281 di Amerika Syarikat dan 13,010 di Australia.

Pada masa sama, pelajar Indonesia membanjiri universiti tempatan khususnya pada peringkat ijazah lanjutan. Sebagai contoh pada 2004 saja, jumlah pelajar Indonesia di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ialah seramai 1,721, iaitu 30 peratus dari jumlah keseluruhan pelajar asing. Hal sama berlaku di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dengan jumlah enrolmen 4,799 iaitu 18.5 peratus. Jumlah itu terus meningkat dengan ketara pada 2008 dengan jumlah 3,614 di IPTA dan 7,024 di IPTS.

Lebih spesifik dan terkini, pelajar Indonesia menduduki tangga kedua dalam senarai pelajar antarabangsa pada peringkat ijazah lanjutan di Universiti Teknologi Malaysia. Fidahului 353 dari Iran, Indonesia (199), Libya (125), Iraq (81), Sudan (65), Yaman (61), Nigeria (39), Arab Saudi (33), Pakistan (22), Khazastan (17), China (13) dan selebihnya dari lebih 20 negara lain termasuk Jerman, United Kingdom, Perancis, Maghribi, Oman, Palestin, Syria, Somalia, Turki dan Uganda.


KECEMERLANGAN pusat pengajian tinggi tempatan menjadi tumpuan pelajar asing melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang.

Kehadiran pelajar Indonesia di IPTA khususnya pada peringkat ijazah lanjutan - berlainan dengan profil dan kerangka kerja dengan negara lain. Sebahagian besar pelajar diterima belajar di IPTA menerusi kerangka kerjasama antara universiti Malaysia dan Indonesia dari segi pertukaran staf, latihan akademik dan penyelidikan.

Sebahagian felo pasca kedoktoran di IPTA adalah staf akademik dari Indonesia. Sebenarnya hubungan sinergi, setiakawan dan jalinan akrab memang sedia terukir dalam kerangka wawasan akademik yang semakin kukuh.

Seperti Malaysia, universiti terkemuka di Indonesia juga sedang mempergiatkan usaha menambah bilangan staf berkelulusan PhD dan menjalin kerjasama akademik dalam pelbagai bidang dalam kerangka pengantarabangsaan, khususnya dengan tetangga di Malaysia. Selain dari Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Belanda, Belgium, Jerman, Australia dan Kanada, Malaysia adalah destinasi paling murah dan lumrah ketika ini.

Selasa lalu, saya diundang menghadiri majlis ulang tahun ke-48 Institut Teknologi Sepuluh November, Surabaya (ITS). Pada majlis itu, saya turut menerima Anugerah Antarabangsa Kerjasama Akademik daripada institut berkenaan.

Kerjasama pelbagai dimensi memang sudah terjalin sejak awal 1990-an lagi. Undangan itu mempererat hubungan kerjasama sedia terjalin antara ITS dengan UTM khususnya dalam bidang kejuruteraan alam sekitar, teknologi marin, kejuruteraan kimia dan teknologi maklumat.

Selain daripada pertukaran staf dan pelajar, kedua-dua universiti turut mengesahkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pertukaran staf khususnya untuk program peringkat pasca kedoktoran, penerbitan ilmiah dalam jurnal prestij sehingga kesediaan untuk membangunkan harta intelek bersama.

Pada majlis itu, di hadapan Presiden Indonesia yang diwakili Menteri Komunikasi dan Informasi, Profesor Muhammad Nuh, dan Gabenor Jawa Timur, termetrai satu lagi mercu tanda keutuhan dan kesetikawanan bukan saja antara UTM dan ITS, malah sebenarnya antara dua negara tetangga, Malaysia dan Indonesia yang sebenarnya tidak jauh berbeza dari segi cita-cita dan agenda sebagai bangsa serumpun.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran politik dan sosioekonomi global, kedua-dua negara perlu membangunkan modal insan lebih berkualiti. Selain itu, keupayaan untuk membina kepakaran dan harta intelek yang dijalin dengan semangat keusahawanan tinggi menjadi semakin mendesak dalam dunia penuh persaingan.

Hal ini dipersulitkan lagi dengan kepupusan sumber alam berkualiti termasuklah sumber air dan kepelbagaian biologi, dan kesan pencemaran alam sekitar yang menjejaskan kesihatan awam. Pasaran bebas tajaan WTO yang sebenarnya lebih memihak kepada negara maju label mesra alam, memenuhi standard antarabangsa, hak asasi manusia, eksploitasi buruh dan banyak isu lain turut dijadikan syarat kemasukan ke pasaran tertentu juga mengehadkan pasaran barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan negara membangun, termasuk Malaysia dan Indonesia.

Di sinilah perlu jaringan dan kerangka akademik yang mantap khususnya dengan negara tetangga untuk sama-sama membangunkan modal insan yang boleh memacu pembangunan lestari. Kita juga memerlukan kerjasama supaya isu berkaitan perdagangan, alam sekitar dan hak asasi ditangani bukan saja dalam dimensi politik dan diplomasi tetapi juga secara lebih akademik dengan wacana intelektual.

Dalam hal ini, kedua-dua negara saling memerlukan. Pensyarah dan pelajar Indonesia secara umumnya lebih mudah untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran akademik di Malaysia, berbanding warga negara lain. Dengan jarak destinasi tidak jauh dan kuasa beli yang secara relatif lebih tinggi, komuniti akademik Malaysia lebih santai menjalin kerjasama dan berkunjung ke Indonesia dalam pelbagai program akademik dan jaringan kerja.

Sekadar catatan, Timbalan Presiden Indonesia, Yusof Kalla berkunjung ke Johor tiga tahun lalu. Pada kesempatan itu, beliau sempat beramah-mesra dengan saudara maranya dari keturunan Bugis yang bermastautin di daerah Pontian yang pernah dikunjungi 25 tahun sebelumnya.

Pada suatu majlis pada pagi Jumaat, Yusuf menyebut betapa rakyat Indonesia dan Malaysia mempunyai hubungan luar biasa, tidak sama seperti hubungan dua negara lain di dunia ini. Katanya; "Kita bersaudara bukan saja dari segi keturunan dan rumpun bangsa, tetapi juga bahasa dan agama."

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

No comments: