Monday, August 16, 2010

Ramadan boleh jadi tarikan pelancong

Berita Harian - Rencana - 12 Aug 2010


Oleh Prof. Dr. Zaini Ujang


RAMADAN selalunya dikaitkan dengan amalan tradisional masyarakat Islam. Dalam konteks Malaysia, tradisi Melayu begitu mewarnai penghayatan Ramadan dalam pelbagai bidang. Ketika berbuka puasa misalnya, juadah Melayu menjadi pilihan. 

Walaupun kita sering memakan pelbagai juadah lain, tetapi ketika berbuka, selera kebanyakan orang sangat bersifat kemelayuan. Ayam percik dan gula Melaka, bubur lambuk dan gulai masak kuning tetap menjadi pilihan. Biasanya pada Ramadan kita mengenali pelbagai jenis masakan dan juadah tradisional yang jarang dihidangkan pada bulan lain. Tidak salah rasanya jika dikatakan Ramadan menimbulkan nostalgia dan mempertautkan kembali kita kepada akar budaya dan jati diri.


Selain penekanan ibadat, Ramadan menjanjikan peluang dan ganjaran duniawi. Ketika ini peniaga menyasarkan keuntungan lumayan menerusi jualan juadah berbuka puasa, pakaian raya, kad ucapan, kuih raya dan sebagainya. Malah ramai juga mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan ketika bermulanya Ramadan.


Ketika Ramadan gerai jualan tumbuh bagai cendawan. Pasar raya penuh sesak dengan gerai baru. Begitu juga dengan perkhidmatan lain seperti hidangan berbuka puasa di hotel lima bintang dan pakej umrah sepanjang bulan. 

Keunikan sambutan Ramadan di Malaysia turut mewarnai seluruh masyarakat Malaysia, tidak hanya orang Islam. Ketika berbuka di hotel lima bintang, kehadiran orang bukan Islam begitu dirasakan. Biarpun mereka bersama untuk makan malam atau sekadar menghormati rakan niaga ketika berunding atau bermesyuarat, realitinya kemeriahan Ramadan melangkaui sempadan agama dan keturunan. 

Namun demikian, pada hemat saya, kita masih tidak menggunakan kesempatan menerusi keunikan budaya Ramadan sebagai identiti Malaysia. Pada hemat saya, kemajmukan, kemeriahan dan kesatuan masyarakat Malaysia menyambut Ramadan hanya terhad disoroti dari aspek kemeriahan berbuka dan keriangan ketika menjamu selera dari gerai tepi jalan hingga hotel lima bintang. 

Jarang kita membicarakan soal perpaduan ummah dan kesatuan masyarakat majmuk yang terserlah setiap tiba Ramadan. Jarang juga kita menyentuh sikap toleransi dan kesediaan seluruh masyarakat tanpa mengenal agama, budaya dan keturunan untuk mengirim kad raya, atau sekadar menghantar pesanan ringkas. Hal ini lebih menarik ketika sambutan perayaan menerusi rumah terbuka. 
Saya juga ingin mencadangkan agar kemeriahan Ramadan dijadikan ikon pelancongan di Malaysia. Ketika ini kemudahan dan pakej Ramadan lebih bersifat memenuhi keperluan orang tempatan. Itupun dalam banyak hal dilakukan secara bermusim dan tidak profesional. Sebagai contoh, gerai makanan disediakan di tepi jalan tanpa kemudahan asas. Selain mengganggu kelancaran lalu lintas, gerai itu juga sering menyebabkan kekotoran kawasan berkenaan. Kebersihan dan keselamatan makanan juga tidak dipantau. 

Hal ini berlainan jika dibandingkan dengan Singapura, gerai dan bazar Ramadan dipusatkan di beberapa kawasan. Geylang Serai misalnya menjadi tumpuan utama. Selain kegunaan orang tempatan, bazar Ramadan yang tersusun, bersih dan bersistem adalah jenama dalam promosi pelancongan. Itu sebabnya Singapura berjaya menarik bukan saja pelancong beragama Islam dari Asia Barat malah dari serata dunia yang tidak beragama Islam untuk mengunjungi bazar Ramadan. 

Pelancongan Ramadan antara kesempatan yang belum diterokai di Malaysia. Kita hanya terbiasa dengan pakej umrah ketika Ramadan dengan bilangan jemaah dari Malaysia mengatasi kuota musim haji. Dalam konteks Malaysia, pelancongan Ramadan mudah dilakukan kerana kebanyakan hotel dan restoran di Malaysia mempunyai persijilan halal dan berdekatan masjid membolehkan pelancong Islam mengerjakan solat berjemaah termasuk solat terawih. Pelancong bukan Islam pula boleh melihat keunikan masyarakat Malaysia menyambut dan menghayati Ramadan. 

Ketika Ramadan umat Islam menukar cara hidup bukan saja menjadi lebih soleh tetapi juga berubah efisyen. Selain tidak makan pada hari siang, umat Islam juga melakukan semua perkara dengan sebaiknya. Ia begitu ketara dari segi inovasi perniagaan dan juga pengurusan masa. 

Wednesday, January 07, 2009

Mengangkasakan Pengajian Tinggi

Berita Harian - Minda Lestari 2 Jan 2009

Mengangkasakan Pengajian Tinggi

MENGANGKASA Pengajian Tinggi adalah buku terkini saya yang dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 12 Disember lalu. Pelancaran buku itu memberi petunjuk jelas kepada sektor pengajian tinggi tempatan bahawa suasana akademik perlu diperkayakan dengan percambahan idea, perkongsian maklumat dan perbahasan beradab.

Suasana akademik sedemikian menjadi prasyarat untuk meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi rantau ini. Saya mempunyai banyak sebab menulis buku ini. Selain cuba mendokumentasikan pengalaman dan pemikiran mengenai pengajian tinggi, buku itu juga adalah manifestasi tradisi ilmu yang sangat menekankan kepada budaya cetak.

Memang budaya lisan penting khususnya dalam menyampaikan syarahan atau menjelaskan sesuatu konsep ilmu atau isu. Namun, kepentingan budaya cetak lebih berkembang dalam dunia keilmuan sejak ribuan tahun lalu. Itulah faktor seseorang tokoh ilmu dikaitkan dengan hasil penulisannya, khususnya sesuatu magnum opus.

Pada hemat saya, suasana dan amalan ini agak tidak begitu menyerlah ketika ini, biarpun pelbagai dasar dan inisiatif dilancarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi di rantau ini. Untuk menjadi lebih efektif dalam proses pembudayaan ilmu pada peringkat individu dan pembentukan sesebuah komuniti akademik yang mantap, maka kita perlu berkarya, membaca dan berwacana pada tahap sewajarnya.

Menulis adalah tradisi dan rutin intelektual paling penting. Menulis adalah kemahiran ilmiah paling utama. Menulis juga perlu menjadi amalan hidup dan sinonim kepada seseorang tokoh dan pencinta ilmu, bukan saja dalam disiplin pengkhususan masing-masing, malah juga dalam soal umum membabitkan idealisme, institusi dan budaya ilmu.

Albert Einstein misalnya, bukan hanya menulis mengenai fizik dan matematik, malah turut menulis mengenai isu semasa dari perspektif ilmu dan pemikiran saintifik. Tajuk buku saya menggunakan istilah 'Mengangkasa' dalam konteks pembangunan pengajian tinggi. 'Mengangkasa' bermakna meletakkan pada kedudukan yang tinggi 'nun jauh terbang di angkasa' seperti mana angkasawan menerobos ruang atmosfera.

Istilah itu juga menunjukkan bahawa pengajian tinggi perlu diangkat ke martabat tinggi supaya kedudukan dan kepentingannya dapat dihargai, diimpikan dan dihayati semua pihak, bukan hanya di kalangan pelajar dan komuniti akademik, malah seluruh lapisan masyarakat.

Istilah 'Mengangkasa' dipopularkan oleh Datuk Seri Najib Razak, dalam ucapan dasar berjudul 'Mengangkasa Tamadun Bangsa' pada perhimpunan siasah 6 November 2007. Dengan kata lain, 'mengangkasa' adalah suatu ideal yang memerlukan transformasi menyeluruh dalam konteks memartabatkan sesebuah tamadun, termasuk pengajian tinggi negara.

Kata Najib, 'Bangsa Angkasa' ialah bangsa yang sentiasa mempunyai impian tertinggi, dan tamadun hebat. Untuk itu, kita perlu menguasai pelbagai disiplin sains dan teknologi, memiliki pengetahuan dan kemahiran, menguasai pelbagai bahasa, menjana ilmu, mengukuhkan iman, berbudaya cemerlang dan bercita-cita setinggi angkasa.

'Mengangkasa' adalah suatu pencapaian tertinggi sebagai ideal, wawasan, impian dan cita-cita. Mengangkasa juga bermakna mencapai tahap paling cemerlang, gemilang dan terbilang. Sektor pengajian tinggi di Malaysia sedang berkembang pesat, paling ketara, sejak sedekad lalu menerusi pelbagai pembaharuan dari segi dasar dan inisiatif.

Daripada hanya 10 institusi bertaraf universiti dan kolej universiti, kini angkanya menjangkau 61 buah. Perkembangan ini dirangka selari dengan keperluan pembangunan intelektual, insaniah dan sumber manusia, bukan saja untuk keperluan tempatan, malah dipacu gagasan menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi rantau ini.

Inilah latar belakang penulisan buku ini. Secara khusus, buku ini yang serba sederhana juga cuba menyorot mengenai komuniti akademik, termasuk golongan mahasiswa. Graduan ideal, seharusnya memiliki kemahiran berfikir, keupayaan berhujah, kesantaian berkomunikasi mengikut pelbagai dimensi dan perspektif, pencinta ilmu dan pemburu kebenaran, berwatakan mulia dan mahir dalam pencarian ilmu.

Dengan kemahiran ini, mereka mampu mengharungi pelbagai situasi dan memasuki pasaran kerja dengan lebih selesa berbanding graduan 'pasang siap' yang lebih menumpu kepada beberapa kemahiran teknikal dan amalan profesional tertentu yang kadangkala lemah pula dari segi kemahiran berfikir, berkomunikasi dan mesra ilmu.

Menerusi buku ini, saya mencadangkan agar semua pihak memberi tumpuan kepada pembudayaan ilmu, termasuk di kalangan komuniti akademik. Ini perlu kerana tafsiran saya mengenai intelektual lebih berfalsafah dan mungkin juga mengundang kontroversi. Saya melontarkan persoalan: Apakah semua ahli akademik adalah intelektual atau sekadar inteligensia dan pemilik ijazah pengajian tinggi saja?

Pembudayaan ilmu menjadi teras buku ini kerana pada hemat saya, sesebuah universiti berkembang dan disegani bukan hanya kerana program akademik ditawarkan atau kelayakan akademik dan profesional pensyarah yang berjela. Sebaliknya, lebih kepada pembudayaan dan persekitaran ilmiah yang merangsang minda, menguji cendekiawan, mengamit kreativiti, memacu inovasi dan yang terpenting, mesra ilmu.

Memang banyak peningkatan dalam bidang pengurusan dan pencapaian pengajian tinggi. Ketika ini kepakaran dalam hampir setiap bidang dan disiplin ilmu ada di universiti tempatan, daripada sains angkasa hingga pengajian alam mikro dan nano. Bahkan ada juga di kalangan pensyarah mengkhusus dalam disiplin ilmu yang selama ini tidak diimpikan, malah boleh dianggap kurang relevan dengan keperluan negara 20 tahun lalu, seperti gempa bumi, sejarah Amerika Latin dan pencairan ais di kutub.

Inilah yang membuatkan bidang pengajian tinggi di Malaysia semakin berkembang, didokong oleh komuniti sarjana dan pelajar yang dedikasi dan berkelayakan tinggi. Inilah juga yang memungkinkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi meletakkan wawasan dan misi 'mengangkasa' pengajian tinggi seperti terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan Perdana Menteri pada Oktober 2007.

Dengan pasrah saya menyerahkan buku ini kepada khalayak pembaca untuk sama-sama cuba mendekati ideal, memahami aspirasi dan mengangkasa pengajian tinggi, menjadikan institusi pengajian tinggi sebagai 'taman ilmu', iaitu wadah pencinta ilmu mencari, mengkaji, menambah, berkongsi, berdiskusi dan berkarya di bawah naungan dan tuntutan yang tersirat dalam ayat pertama diwahyukan: al-Iqra (bacalah!).

Prof Datuk Dr Zaini Ujang
Naib Canselor
Universiti Teknologi Malaysia dan
pengarang buku Mengangkasa Pengajian Tinggi
(Penerbit UTM, 2009)

Sunday, December 21, 2008

Tafsiran berbeza halang capai matlamat pelestarian

Berita Harian - Minda Lestari 19 Dec 2008

Oleh Dr Zaini Ujang

2009 penentu komitmen sebenar sektor korporat, pemimpin hadapi suasana ekonomi secara menyeluruh

PELESTARIAN (sustianability) menjadi buah mulut dalam dunia korporat sepanjang 2008. Dari sektor tenaga, pengangkutan, perkhidmatan hinggalah perkakasan komputer, aspek pelestarian menjadi mauduk istimewa. Anehnya, pelestarian mempunyai pengertian berbeza dan bergantung kepada tafsiran kelompok dan sektor.

Di kalangan pencinta alam, pelestarian bermakna pembangunan yang turut memberi keutamaan kepada pengurusan alam sekitar untuk memastikan kelancaran proses tabii dan sumber alam dapat terus digunakan generasi masa depan. Paling penting, pembangunan lestari mengurangkan risiko seperti peningkatan suhu bumi atau tanah runtuh.


PELESTARIAN pembangunan mengutamakan pengurusan alam
sekitar yang boleh mengurangkan risiko tanah runtuh.
Pelestarian dalam konteks sosial pula tertumpu kepada pemantapan asas kemasyarakatan supaya lebih harmoni, aman dan bersatu padu. Dari segi ekonomi pula, pelestarian biasa dikaitkan dengan trend keuntungan sentiasa menokok. Pelestarian juga adalah pakej baru dalam konteks tanggungjawab sosial korporat (CSR). Secara umum, aspek pelestarian berkait rapat dengan komitmen warga korporat terhadap alam sekitar.

Sehubungan itu, beberapa syarikat multinasional menggariskan strategi pelestarian tersendiri. Ada juga melantik ketua pegawai pelestarian dan menerbitkan laporan tahunan pelestarian penuh warna kehijauan. Sepanjang 2008, tahap pelestarian menjadi antara petunjuk penting komitmen sesebuah kerajaan, syarikat, organisasi dan individu untuk menangani isu pemanasan global, pencemaran alam sekitar dan kecekapan tenaga.

Namun, pada hemat saya, 2009 dijangka memberi pengertian berbeza mengenai pelestarian bagi sektor korporat. Barangkali tidak lagi berkait langsung dengan komitmen 'hijau' atau inovasi teknologi bersih!

Pelestarian korporat pada 2009 dijangka lebih tertumpu kepada ketahanan untuk menghadapi suasana ekonomi yang merudum di serata dunia ketika ini. Selain penurunan dari segi keuntungan, sektor korporat di serata dunia juga dijangka menyaksikan lebih banyak kes muflis, pendedahan rasuah dan salah laku korporat. Penyelewengan seperti kes Bernard Madoff dengan pelaburan awam berjumlah sekurang-kurangnya AS$50 bilion dijangka lebih banyak terbongkar.

Mahu tidak mahu, kita perlu mengakui kenyataan bahawa iklim ekonomi global tambah membimbangkan. Dua hari lalu, Bank Pusat Amerika menurunkan kadar faedah utama kepada hampir sifar peratus, manakala Bank Pusat Jepun menyusul dengan 0.3 peratus dan Bank Pusat Eropah pula kepada 2.5 peratus.

Hal ini melatari suasana ekonomi dengan pengecutan pasaran dalam pelbagai sektor.

Toshiba misalnya akan mengurangkan pengeluaran chips memori untuk kamera digital dan iPods sebanyak 30 peratus. Penjualan kereta di Eropah pula merekodkan pengurangan 26 peratus pada November lalu berbanding bulan sebelumnya. Menyedari kurangnya permintaan, Toyota menangguhkan pembinaan kilang baru di Misissippi yang pada awalnya dijangka mula mengeluarkan kereta pada Mei 2010 untuk pasaran Amerika Utara.

Secara umumnya, syarikat besar pengeluar kereta berasakan penurunan mendadak penjualan sejak suku ketiga 2008 lagi. Itu antara sebab ketiga-tiga pengeluar kereta Amerika Syarikat meminta bantuan modal daripada kerajaan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah!

Demikian antara faktor yang pada hemat saya akan mendefinisikan pelestarian dengan warna ekonomi pada 2009. Dengan kata lain, keupayaan sektor korporat bertahan dan terus mengekalkan survival masing-masing. Untuk bertahan, maka pelbagai langkah akan dilakukan seperti pengurangan bilangan pekerja, penurunan kapasiti pengeluaran dan fokus pasaran berkembang. Implikasinya ialah peningkatan pengangguran dan pengurangan kuasa beli pengguna.

Selain pelbagai inisiatif untuk merangsang pertumbuhan seperti bantuan modal dan pengurangan kadar faedah, banyak kerajaan dijangka menggunakan pelbagai dasar baru lebih inovatif.

Sebagai negara yang pernah mengalami beberapa episod kemelesetan ekonomi sejak merdeka, kita berharap strategi yang akan diambil kerajaan kali ini akan sekali lagi berhasil.

Persoalannya, dalam keadaan kemelesetan ekonomi global, apakah pelestarian dalam konteks ekosistem dan kemasyarakatan masih relevan?

Dari segi agenda, banyak peristiwa penting dijadualkan pada 2009 untuk memastikan kehangatan isu pelestarian terus dirasakan. Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland pada Januari depan dijangka memberi perspektif semasa terhadap pelestarian dalam senario kemelesetan ekonomi. Ini disusuli persidangan IMF dan Bank Dunia pada Oktober tahun depan untuk mencari strategi baru pelestarian ekonomi.

Kemuncaknya ialah persidangan pemimpin dunia di Copenhagen pada November 2009 untuk merumuskan kerangka perjanjian pasca-Protokol Kyoto yang tamat pada 2012, mengenai pengurangan pembebasan gas rumah kaca. Ketika ini pelbagai inisiatif dan lobi dilakukan untuk mengelakkan pengurangan gas rumah kaca berasaskan kepada pertumbuhan ekonomi.

Perlu difahami bahawa kegagalan mencapai kata sepakat untuk mengurangkan pembebasan gas rumah kaca di Copenhagen bermakna kita perlu mencari kaedah dan mekanisme lain menangani peningkatan suhu bumi yang mengambil masa lama. Atau sebaliknya, kita hanya pasrah terhadap apa saja musibah, bencana dan ketentuan Ilahi akibat berleluasanya ketidaktentuan cuaca, pencairan ais di kutub dan perubahan iklim.

Saya berpendapat, 2009 adalah penentu komitmen sebenar terhadap pelestarian dalam pengertian menyeluruh. Selama ini kita mendengar pelbagai ucapan, kenyataan dan pengumuman pelbagai pihak - termasuk sektor korporat 'hijau' - betapa aspek pelestarian adalah DNA dan asas kewujudan mereka. Selama ini atas nama 'tapak ekologi' dan 'peningkatan suhu bumi' pelbagai produk 'hijau' dipasarkan dan pelbagai reka cipta baru 'mesra alam' dicanangkan seperti biofuel dan enjin hibrid.

Dalam keadaan pertumbuhan ekonomi dijangka rendah (menurut The Economist - The World in 2009) Jerman, - 0.2%; - 0.1% (Perancis); - 0.3% (Itali); 0.7% (Belanda); 0% (Switzerland); - 1% (Britain), 0% (Jepun); - 0.1% (Singapura); - 0.2% (Amerika Syarikat); 0.5% (Kanada); 8% (China) dan India, 6.5% - apakah cadangan itu masih relevan?

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia

Monday, December 15, 2008

Buku Baru oleh Zaini Ujang

Mengangkasa Pengajian Tinggi
(PDF File) Preface & Content / Kandungan & Prakata


PRAKATA

Buku ini merupakan cetusan pandangan penulis tentang pengajian tinggi. Ada kalanya penulis mengambil pendekatan idealistik, khususnya ketika penulis masih belum terlibat secara langsung dalam pengurusan universiti, tetapi menjadi lebih praktikal dan realistik apabila mempersoalkan isu-isu semasa seperti penarafan, pengantarabangsaan dan petunjuk prestasi.

Asalnya buku ini merupakan catatan mingguan penulis di dalam komputer selepas membaca atau berwacana tentang pengajian tinggi. Pandangan yang tercatat tersebut penulis ulas lebih mendalam dan mengembangkannya dalam bentuk bab berasingan. Sebahagiannya telah diterbitkan dalam beberapa akhbar tempatan dan sebahagian yang lain dimuatkan dalam prosiding seminar atau sekadar catatan peribadi.

Menangani bencana tanah runtuh di kawasan tinggi

Berita Harian - Minda Lestari 12 Dec 2008

Oleh Dr Zaini Ujang

Ekosistem sensitif mudah terjejas, ancam penduduk jika pembangunan dibiarkan tanpa kawalan

DI sebalik timbunan tanah dan runtuhan bangunan di sekitar kawasan Bukit Antarabangsa, banyak isu yang masih belum terjawab. Dalam kekalutan bencana baru menimpa, mangsa dan penduduk masih tertanya-tanya mengenai masa depan mereka dari segi penempatan dan keselamatan harta benda.

Pihak berkuasa juga nampaknya masih belum pasti dari segi tindakan konkrit selanjutnya sama ada penempatan itu perlu dikosongkan sepenuhnya atau hanya buat seketika sehingga keadaan ekosistem menjadi lebih stabil dan kepastian dicapai dari segi tindakan susulan. Soal ganti rugi juga menjadi isu yang dibahaskan dengan hangat dalam media massa.

KEJADIAN tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dikaitkan
dengan projek pembangunan yang menjejaskan struktur
kawasan tinggi.

Dalam memahami dan menangani tragedi ini, kita perlu kembali kepada asas pengurusan ekosistem secara bersepadu. Ekosistem terbahagi kepada empat komponen utama iaitu geosfera (tanah, batuan, kontor), hydrosfera (laut, sungai, tasik, alur air, air bawah tanah), atmosfera (udara) dan biosfera (hidupan dan tumbuhan).

Ramai pakar alam sekitar membuat perumpamaan bahawa sesebuah ekosistem adalah satu jasad hidup. Komponen ekosistem adalah panca indera jasad berkenaan. Jika komponen ekosistem dicemari atau dimusnahkan samalah seperti mencedera atau menghapuskan salah satu panca indera pada jasad alam itu.

Namun demikian, pembangunan sesebuah ekosistem boleh juga diumpamakan seperti menghias atau memperelok jasad seperti kita menggunting rambut atau merampingkan badan.

Pada hemat saya, pembangunan sesebuah ekosistem boleh dibahagikan kepada lima kelas. Kelas pertama ialah ekosistem seimbang yang mudah dibangunkan kerana impak pembangunan terhadap komponen alam sekitar pada tahap minimum. Ini mungkin kerana ekosistem itu tidak mempunyai komponen unik dan ciri istimewa yang perlu dilestarikan.

Kelas kedua ialah ekosistem yang boleh terjejas dengan sesuatu projek pembangunan tetapi dapat dikawal jika tindakan pemulihan dilakukan dengan segera. Biasanya kelas kedua ini menjadi isu hangat dalam konteks kajian impak alam sekitar (EIA) terutama dari segi makna dan tahap 'terjejas'. Hal ini biasa berlaku kepada cadangan penempatan baru di kawasan hutan pinggir bandar, pembinaan insinerator atau tapak pelupusan sampah.

Kelas ketiga ialah ekosistem sensitif yang mudah terjejas tetapi tidak berbahaya kepada penduduk dan pengunjung seperti pembangunan kawasan peranginan dan aktiviti ekopelancongan di kawasan hutan simpan. Contohnya ialah pembangunan pinggir pantai dan jeti di Pulau Tioman dan Pulau Langkawi.

Kelas keempat ialah ekosistem sensitif yang mudah terjejas dan berbahaya kepada penduduk atau pengunjung apabila sesuatu pembangunan dilaksanakan. Tahap bahaya ini dikaji menerusi analisis risiko terhadap komponen alam sekitar. Antara risiko yang selalu dikaitkan dengan projek pembangunan tanah ialah banjir kilat, tanah runtuh dan pencemaran sungai. Pada hemat saya, ekosistem kawasan sekitar Bukit Antarabangsa termasuk dalam kelas empat.

Kelas kelima ialah ekosistem sensitif yang sangat terkesan dengan apa juga bentuk aktiviti pembangunan. Ekosistem itu unik, kaya dengan flora dan fauna, santuari menampung kepelbagaian biologi dan mempunyai peranan penting dari segi keselamatan serta kesejahteraan penduduk dan ekosistem sekeliling.

Contohnya ialah hutan bakau di pinggir pantai sepanjang Selat Melaka dan hutan simpan di Banjaran Titiwangsa. Seandainya hutan terbabit dimusnahkan untuk apa juga bentuk pembangunan, maka kesannya sangat ketara kepada perubahan iklim setempat, hakisan tanah, pencemaran sungai dan tadahan hujan.

Persoalannya apakah tindakan yang wajar dilakukan apabila sesuatu ekosistem mengalami kemusnahan seperti tanah runtuh sekitar Bukit Antarabangsa?

Dari segi teknikal, kita mempunyai lima pilihan. Pertama memulihkan ekosistem secara kecil-kecilan menerusi pelbagai kaedah dan teknologi. Secara peribadi saya berpengalaman memulihkan kawasan bekas tapak pelupusan sampah dan tapak buangan sisa terjadual.

Saya yakin ramai jurutera tempatan mempunyai pengalaman untuk memulihkan kawasan tanah runtuh menerusi kaedah penstabilan tanah dan penyuburan ekosistem. Kaedah ini mengambil masa dan memerlukan biaya besar.

Kedua, memulihkan ekosistem menggunakan kaedah komprehensif tetapi bukan kepada seluruh kawasan. Ia hanya membabitkan kawasan berisiko tinggi seperti tanah runtuh, aliran air bawah tanah dan kawasan lembangan.

Ketiga, memulihkan sesebuah ekosistem secara menyeluruh dengan mengubah lanskap, kontor dan fungsi kawasan terbabit. Bagi kawasan tanah tinggi misalnya perlu ditukar menjadi kawasan landai untuk mengurangkan risiko tanah runtuh dan tompokan air di sesuatu alur atau sistem pengairan bawah tanah. Proses pemulihan ini memerlukan kos tinggi dalam jangka masa antara lima hingga 10 tahun.

Keempat, membiarkan ekosistem kawasan berkenaan stabil menerusi proses alamiah tanpa perlu mengeluarkan biaya besar untuk melakukan sebarang kerja penstabilan tanah dan pemantapan ekosistem. Hal ini memakan masa puluhan tahun. Dalam konteks tapak pelupusan sampah, antara 30 hingga 50 tahun.

Kelima, mengosongkan kawasan terbabit untuk meminimumkan risiko bencana seperti tanah runtuh sehinggalah prosedur perundangan dan pampasan diselesaikan untuk membolehkan pihak berkuasa mengenalpasti langkah seterusnya.

Dalam konteks ekosistem sekitar Bukit Antarabangsa, pilihan pertama tidak lagi relevan. Saya berpendapat tragedi tanah runtuh yang berulangan sehingga mengorbankan tidak sedikit nyawa menunjukkan tindakan drastik tetapi praktikal perlu dilaksanakan segera. Pilihan ketiga paling relevan tetapi mekanisme pembiayaan perlu dikenal pasti.

Selain itu, kita juga perlu merancang supaya tragedi Bukit Antarabangsa itu tidak berulang di tempat lain. Dari segi garis panduan dan prosedur pembangunan tanah tinggi memang sudah diterima pakai pelbagai agensi penguatkuasaan.

Persoalannya ialah mengenai keberkesanan pelaksanaan dan tahap penguatkuasaan. Selain itu kita juga perlu lebih proaktif dalam mengenalpasti risiko bukan saja kepada penduduk bahkan kepada keselamatan harta benda.

Kembali kepada perumpamaan sesebuah ekosistem sebagai satu jasad, maka kawasan sekitar Bukit Antarabangsa itu seperti seorang manusia yang sudah tidak mempunyai tulang belakang atau kehilangan kedua-dua kaki.

Profesor Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar

Wednesday, December 10, 2008

Meneroka khazanah ilmu ketika percutian

Berita Harian - Minda Lestari 5 Dec 2008

Oleh Dr Zaini Ujang

Membaca buku kaedah mudah cari dimensi, motivasi, idea dan perspektif baru kehidupan

BAHAN bacaan khususnya buku bukan saja memberi peluang kepada kita memahami sesuatu disiplin ilmu dan memperkaya maklumat, malah buku juga kaedah termudah untuk mencari dimensi, motivasi, idea dan perspektif baru dalam kehidupan.

Pengalaman dan ilmu yang tersurat dalam buku membolehkan kita mengetahui baik buruk sesuatu perkara, selain memudahkan kita membuat keputusan berkaitan kerjaya, keluarga atau peribadi. Bagi saya, pembacaan buku juga satu kaedah untuk kita ‘melarikan diri’ daripada terus tersudut dan terjerat dengan realiti dan suasana persekitaran.

Latar falsafah yang termuat dalam karya Coelho merangsang kita berfikir mengenai setiap tema kehidupan yang dikemukakan. Menurut seorang pengulas, novel The Winner Stands Alone berkisar pembabitan seorang usahawan Russia, Igor Dalev dalam tempoh 24 jam di Festival Filem Cannes untuk memikat kembali bekas isterinya, Ewa. Pelbagai insiden dramatik berlaku dalam tempoh singkat.

Novel ini, menurut ramai pengulas, adalah cerminan kehidupan manusia berlegar mengenai cinta, kehidupan glamor di kalangan penggiat seni dan golongan hartawan. Dalam novel ini, Coelho menyerlahkan krisis nilai yang semakin melatari kehidupan moden berasaskan kepada rupa paras, kekayaan dan kebendaan.

Saya juga bercadang membaca kumpulan cerpen Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail (Pak Samad) berjudul Edisi Pagi (2005). Sebahagian cerpen itu pernah saya baca ketika disiarkan. Selepas membaca ketika itu, saya berbincang dengan Pak Samad mengenai latar belakang pengkaryaan sehingga terhasil sesebuah cerpen.

Menurut ramai kenalan Pak Samad, sebahagian adalah suatu paparan realiti yang pernah dialami sendiri penulisnya. Karya Pak Samad ini saya baca kembali untuk mendekatkan saya kepada kehidupan guru yang pernah mengajar saya berjinak-jinak dengan dunia penulisan, sekali gus cuba mencari bait yang boleh memantapkan idealisme dan memperkaya perspektif mengharungi dunia semakin mencabar ini.

Selain membaca karya fiksyen, saya juga cuba mendekati Bill Bryson sekali lagi, penulis yang paling tersohor merakamkan pengalaman perjalanan di serata dunia. Kali ini saya memilih Notes from a Big Country (1998). Buku ini sebenarnya sudah lama saya beli tetapi tidak termasuk dalam senarai keutamaan untuk dibaca. Catatan ini tentang perjalanan di Amerika Syarikat, negara yang sudah seringkali kita ikuti bukan saja dalam media cetak bahkan dalam filem dokumentari dan fiksyen.

Namun demikian, karya ini penting bagi saya untuk mengetahui suasana lebih tepat masyarakat Amerika yang selama ini kita kaitkan sebagai kuasa besar yang kian angkuh dan materialistik. Apakah hal sama akan berlarutan dengan kemunculan Barrack Obama sebagai Presiden kulit hitam pertama?

Saya juga bercadang membaca semula buku Charles Handy berjudul The Hungry Spirit (1998) yang berkisar mengenai dilema masyarakat berteraskan kapitalisme. Handy mempersoalkan tujuan kehidupan, lebih daripada sekadar mendapatkan keperluan individu dari segi pendapatan, keselamatan dan kekayaan. ‘Kelaparan’ yang menjadi salah satu istilah pada tajuk buku ini merujuk kepada keinginan manusia yang membuak-buak secara tersirat untuk sampai ke peringkat Proper Selfishness iaitu fahaman individualisme terkawal yang tidak hanya mementingkan diri sendiri. Barangkali pemikiran sedemikian sangat relevan untuk memahami punca krisis kewangan yang berlaku di Amerika Syarikat sejak 2007.

Dalam konteks ini, saya juga memilih untuk membaca karya Pemenang Hadiah Nobel (Keamanan) 2006, Muhammad Yunus berjudul Creating a World Without Poverty (2007). Bagi Muhammad, masa depan kapitalisme hanya relevan jika kepentingan masyarakat diberi keutamaan. Frasa baru yang diperkenalkan iaitu ‘Perniagaan Sosial’ dijangka akan menjadi sebutan dan clichĂ© di kalangan pembuat dasar di serata dunia untuk memastikan pembangunan lestari dan seimbang.

Buku terkini Thomas L Friedman, Hot, Flat and Crowded (2008) adalah bacaan penting bagi individu prihatin terhadap alam sekitar dan pelestarian. Friedman berhujah mengenai keperluan ‘Revolusi Hijau’ untuk memastikan dunia berada dalam keadaan lebih lestari dari segi penggunaan sumber, pembangunan seimbang dan cara hidup ‘hijau’. Buku ini ditulis seorang wartawan terkenal dalam bidang hal- ehwal antarabangsa yang semakin pasrah tentang realiti dunia yang semakin panas, sesak dan terancam.

Sebenarnya, hidup ini tidak perlu dipersulitkan lagi. Kalau berlaku kesulitan maka cari jalan mudah untuk mengatasinya tanpa melanggar etika dan undang-undang. Barangkali itulah falsafah yang cuba saya pelajari dengan mendekati Dr Arthur Caliandro menerusi Simple Steps (2002). Buku ini memberi perspektif segar dan positif terhadap apa saja realiti kehidupan, sama ada sengsara, kecewa, kalah atau sebaliknya. Ramuan untuk terus maju dikemukakan dengan bahasa mudah tetapi langkah bergaya.

Saya juga akan membaca dan menghayati buku Imam Al-Qusyairi yang dihadiahkan isteri saya berjudul Tafsir Sufi (2002). Buku menafsirkan Asma al-Husna yang dikaitkan dengan pelbagai istilah, konsep dan ajaran berkaitan ketuhanan, kerasulan, keinsanan dan kehidupan. Berbeza dengan tafsiran biasa, tafsir sufi biasanya dalam dan punya makna yang jauh menusuk kalbu. Penghayatannya juga tidak sekadar ritual dan zahiran. Barangkali itulah yang sangat kita perlukan - setiap kali bercuti, bermunajat dan bersantaian - iaitu untuk mencari erti dan kekuatan diri.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah ahli akademik yang juga penggemar buku dan aktivis sosial. Buku terkini beliau Mengangkasa Pengajian Tinggi baru saja dipasarkan

Monday, December 01, 2008

Sejauh mana gagasan pelestarian menjadi iltizam

Berita Harian - Minda Lestari 28 Nov 2008
Oleh Dr Zaini Ujang

SEJAK harga minyak di pasaran dunia meningkat mendadak melepasi AS$100 awal tahun ini, pelbagai inisiatif dilakukan untuk mengurangkan pergantungan kepada minyak sebagai sumber tenaga utama. Selain mengenal pasti alternatif kepada bahan api fosil seperti minyak, gas dan arang batu yang dijangka kehabisan dalam tempoh tidak melebihi 50 tahun lagi, banyak teknologi baru dibangunkan untuk menggunakan tenaga secara lebih efisien dan murah.
Sehingga kini, walaupun harga minyak sudah kembali ke paras jauh lebih rendah, inisiatif itu nampaknya masih mengekalkan momentumnya. Hal ini dapat kita lihat menerusi pelbagai laporan dan kajian disiarkan pelbagai agensi berita dan penerbitan.

Sebagai contoh, dalam edisi terkini bertarikh 17 November lalu, majalah Fortune memberi fokus kepada 'tenaga hijau' mengenai pelbagai alternatif tenaga yang bukan saja terbukti berpotensi menggantikan minyak, malah lebih bersih dan mudah diperoleh dengan lebih murah.

Majalah Newsweek bertarikh 3 November pula mengetengahkan iltizam hijau baru di kalangan pemimpin dunia untuk membangunkan sistem 'ekonomi hijau' untuk memastikan program pembangunan lebih lestari. Dengan penyertaan pemimpin kuasa besar termasuk Barrack Obama, Perdana Menteri Britain, Gordon Brown dan Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, iltizam hijau baru yang dipelopori Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon itu mempunyai dokongan politik yang mantap dan meluas.

Semua perkembangan ini menunjukkan bahawa krisis tenaga yang dialami lebih setahun lalu membuka mata dunia bahawa faktor pelestarian (sustainability) menjadi semakin penting dalam proses dan program pembangunan global.

Pelestarian memang bukan suatu istilah dan gagasan baru dalam pembangunan. Sejak diperkenalkan sebagai satu gagasan ideal oleh Suruhanjaya Dunia Mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan menerusi laporan berjudul Our Common Future pada 1987, konsep pelestarian sudah diguna pakai dengan meluas di seluruh dunia dalam hampir semua dokumen perancangan ekonomi dan program pembangunan infrastruktur.

Di Malaysia misalnya, gagasan pelestarian dalam konteks pembangunan negara mula diperkenalkan menerusi Rancangan Malaysia Keenam (1990-1995) lagi. Menerusi gagasan pelestarian, maka usaha perlu diseimbangkan agar program dan projek pembangunan mengambil kira kepentingan alam sekitar, kemasalahatan masyarakat dalam konteks lebih holistik dan keperluan sumber untuk kegunaan generasi akan datang.

Itulah sebabnya banyak instrumen baru diperkenalkan untuk menyokong pelaksanaan gagasan pelestarian itu, selain menerusi penguatkuasaan keperluan menjalankan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA). Memang dimaklumi, EIA bukan penyelesai segala masalah dan jauh sekali memastikan pelestarian sudah dilaksanakan terhadap alam sekitar, penggunaan tenaga, pengoptimuman sumber apatah lagi gaya hidup.

EIA hanya instrumen berbentuk kajian untuk mengenal pasti impak atau kesan sesuatu pembangunan terhadap alam sekitar, sosioekonomi, budaya dan sumber asli. Selepas menjalankan kajian impak, cadangan terkandung dalam EIA perlu pemantauan berterusan terhadap aktiviti pembangunan yang dijalankan.

Sekadar catatan, saya mengikuti perkembangan dan komitmen terhadap gagasan pelestarian ini sejak lebih 20 tahun lalu. Pada akhir 1980-an, tidak banyak laporan mengenai konsep pelestarian, isu alam sekitar dan pembangunan holistik dibincangkan dalam media massa.

Setiap kali isu sedemikian disiarkan, saya menyimpan keratan akhbar atau majalah, sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Hal seperti itu berkembang pesat sehingga pada akhir 1990-an, saya tidak mampu lagi berbuat demikian kerana hampir setiap hari ada saja isu dan artikel mengenainya tersiar. Malah dalam konteks media antarabangsa menjadi fokus utama dan paparan muka hadapan.

Selepas 20 tahun, persoalannya kini ialah sejauh mana tahap iltizam dan penghayatan untuk melaksanakan gagasan terbabit dalam kehidupan harian, sistem perundangan, kaedah pengeluaran dan penghasilan produk? Dari satu segi, pelestarian memang sudah menjadi suatu mantera yang digunakan seluruh kalangan. Pengeluar kereta, syarikat petrokimia, pembekal kertas dan penggubal dasar sering kali menggunakan 'hijau' dan 'lestari' sebagai satu ramuan wajib.

Malah ahli politik, malangnya hal ini masih belum ketara di Malaysia menjadikan iltizam hijau sebagai isu besar untuk memikat pengundi.

Pada hemat saya, iltizam lestari terserlah menerusi empat tindakan pada peringkat individu, organisasi atau negara, iaitu:

* Pertama; menghayati cara hidup lestari seperti menggunakan sumber dengan optimum, kitar semula, elakkan pembaziran, konsumerisme berdasarkan 'keperluan' dan bukan 'kehendak'.
* Kedua; mengurangkan tapak ekologi (ecological footprint) dengan melakukan pelbagai perkara mengambil kira faktor penggunaan sumber, penghasilan sisa dan penjanaan semula sumber asli.
* Ketiga; menerusi peningkatan keefisienan dalam penggunaan sumber tenaga, air dan bahan mentah lain, dan
* Keempat; tidak melakukan pencemaran alam sekitar.

Komitmen ini boleh diukur menerusi pelbagai cara, termasuk penggunaan Indeks Pencapaian Alam Sekitar (EPI) sebagaimana yang diperkenalkan oleh Universiti Yale dan Universiti Chicago sejak empat tahun lalu. Selain itu, tapak ekologi dan indeks pelestarian juga boleh digunakan.

Namun, asasnya ialah gagasan pembangunan lestari. Dalam konteks ketika gagasan ini sering kali juga diungkapkan sebagai 'pembangunan karbon neutral' yang bersifat holisitik yang tidak lagi terbatas kepada agensi khusus atau bidang yang secara langsung berkait dengan alam sekitar seperti perkhidmatan pembetungan, pengairan dan saliran, pembangunan industri dan pengurusan hutan.

Malah perlu diserlahkan dalam seluruh skop serta dimensi kehidupan dan pembangunan, termasuklah bidang pertanian, pentadbiran, keselamatan, perdagangan, pendidikan, pengangkutan dan sukan.

Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia