Monday, August 16, 2010

Ramadan boleh jadi tarikan pelancong

Berita Harian - Rencana - 12 Aug 2010


Oleh Prof. Dr. Zaini Ujang


RAMADAN selalunya dikaitkan dengan amalan tradisional masyarakat Islam. Dalam konteks Malaysia, tradisi Melayu begitu mewarnai penghayatan Ramadan dalam pelbagai bidang. Ketika berbuka puasa misalnya, juadah Melayu menjadi pilihan. 

Walaupun kita sering memakan pelbagai juadah lain, tetapi ketika berbuka, selera kebanyakan orang sangat bersifat kemelayuan. Ayam percik dan gula Melaka, bubur lambuk dan gulai masak kuning tetap menjadi pilihan. Biasanya pada Ramadan kita mengenali pelbagai jenis masakan dan juadah tradisional yang jarang dihidangkan pada bulan lain. Tidak salah rasanya jika dikatakan Ramadan menimbulkan nostalgia dan mempertautkan kembali kita kepada akar budaya dan jati diri.


Selain penekanan ibadat, Ramadan menjanjikan peluang dan ganjaran duniawi. Ketika ini peniaga menyasarkan keuntungan lumayan menerusi jualan juadah berbuka puasa, pakaian raya, kad ucapan, kuih raya dan sebagainya. Malah ramai juga mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan ketika bermulanya Ramadan.


Ketika Ramadan gerai jualan tumbuh bagai cendawan. Pasar raya penuh sesak dengan gerai baru. Begitu juga dengan perkhidmatan lain seperti hidangan berbuka puasa di hotel lima bintang dan pakej umrah sepanjang bulan. 

Keunikan sambutan Ramadan di Malaysia turut mewarnai seluruh masyarakat Malaysia, tidak hanya orang Islam. Ketika berbuka di hotel lima bintang, kehadiran orang bukan Islam begitu dirasakan. Biarpun mereka bersama untuk makan malam atau sekadar menghormati rakan niaga ketika berunding atau bermesyuarat, realitinya kemeriahan Ramadan melangkaui sempadan agama dan keturunan. 

Namun demikian, pada hemat saya, kita masih tidak menggunakan kesempatan menerusi keunikan budaya Ramadan sebagai identiti Malaysia. Pada hemat saya, kemajmukan, kemeriahan dan kesatuan masyarakat Malaysia menyambut Ramadan hanya terhad disoroti dari aspek kemeriahan berbuka dan keriangan ketika menjamu selera dari gerai tepi jalan hingga hotel lima bintang. 

Jarang kita membicarakan soal perpaduan ummah dan kesatuan masyarakat majmuk yang terserlah setiap tiba Ramadan. Jarang juga kita menyentuh sikap toleransi dan kesediaan seluruh masyarakat tanpa mengenal agama, budaya dan keturunan untuk mengirim kad raya, atau sekadar menghantar pesanan ringkas. Hal ini lebih menarik ketika sambutan perayaan menerusi rumah terbuka. 
Saya juga ingin mencadangkan agar kemeriahan Ramadan dijadikan ikon pelancongan di Malaysia. Ketika ini kemudahan dan pakej Ramadan lebih bersifat memenuhi keperluan orang tempatan. Itupun dalam banyak hal dilakukan secara bermusim dan tidak profesional. Sebagai contoh, gerai makanan disediakan di tepi jalan tanpa kemudahan asas. Selain mengganggu kelancaran lalu lintas, gerai itu juga sering menyebabkan kekotoran kawasan berkenaan. Kebersihan dan keselamatan makanan juga tidak dipantau. 

Hal ini berlainan jika dibandingkan dengan Singapura, gerai dan bazar Ramadan dipusatkan di beberapa kawasan. Geylang Serai misalnya menjadi tumpuan utama. Selain kegunaan orang tempatan, bazar Ramadan yang tersusun, bersih dan bersistem adalah jenama dalam promosi pelancongan. Itu sebabnya Singapura berjaya menarik bukan saja pelancong beragama Islam dari Asia Barat malah dari serata dunia yang tidak beragama Islam untuk mengunjungi bazar Ramadan. 

Pelancongan Ramadan antara kesempatan yang belum diterokai di Malaysia. Kita hanya terbiasa dengan pakej umrah ketika Ramadan dengan bilangan jemaah dari Malaysia mengatasi kuota musim haji. Dalam konteks Malaysia, pelancongan Ramadan mudah dilakukan kerana kebanyakan hotel dan restoran di Malaysia mempunyai persijilan halal dan berdekatan masjid membolehkan pelancong Islam mengerjakan solat berjemaah termasuk solat terawih. Pelancong bukan Islam pula boleh melihat keunikan masyarakat Malaysia menyambut dan menghayati Ramadan. 

Ketika Ramadan umat Islam menukar cara hidup bukan saja menjadi lebih soleh tetapi juga berubah efisyen. Selain tidak makan pada hari siang, umat Islam juga melakukan semua perkara dengan sebaiknya. Ia begitu ketara dari segi inovasi perniagaan dan juga pengurusan masa.