Sunday, December 21, 2008

Tafsiran berbeza halang capai matlamat pelestarian

Berita Harian - Minda Lestari 19 Dec 2008

Oleh Dr Zaini Ujang

2009 penentu komitmen sebenar sektor korporat, pemimpin hadapi suasana ekonomi secara menyeluruh

PELESTARIAN (sustianability) menjadi buah mulut dalam dunia korporat sepanjang 2008. Dari sektor tenaga, pengangkutan, perkhidmatan hinggalah perkakasan komputer, aspek pelestarian menjadi mauduk istimewa. Anehnya, pelestarian mempunyai pengertian berbeza dan bergantung kepada tafsiran kelompok dan sektor.

Di kalangan pencinta alam, pelestarian bermakna pembangunan yang turut memberi keutamaan kepada pengurusan alam sekitar untuk memastikan kelancaran proses tabii dan sumber alam dapat terus digunakan generasi masa depan. Paling penting, pembangunan lestari mengurangkan risiko seperti peningkatan suhu bumi atau tanah runtuh.


PELESTARIAN pembangunan mengutamakan pengurusan alam
sekitar yang boleh mengurangkan risiko tanah runtuh.
Pelestarian dalam konteks sosial pula tertumpu kepada pemantapan asas kemasyarakatan supaya lebih harmoni, aman dan bersatu padu. Dari segi ekonomi pula, pelestarian biasa dikaitkan dengan trend keuntungan sentiasa menokok. Pelestarian juga adalah pakej baru dalam konteks tanggungjawab sosial korporat (CSR). Secara umum, aspek pelestarian berkait rapat dengan komitmen warga korporat terhadap alam sekitar.

Sehubungan itu, beberapa syarikat multinasional menggariskan strategi pelestarian tersendiri. Ada juga melantik ketua pegawai pelestarian dan menerbitkan laporan tahunan pelestarian penuh warna kehijauan. Sepanjang 2008, tahap pelestarian menjadi antara petunjuk penting komitmen sesebuah kerajaan, syarikat, organisasi dan individu untuk menangani isu pemanasan global, pencemaran alam sekitar dan kecekapan tenaga.

Namun, pada hemat saya, 2009 dijangka memberi pengertian berbeza mengenai pelestarian bagi sektor korporat. Barangkali tidak lagi berkait langsung dengan komitmen 'hijau' atau inovasi teknologi bersih!

Pelestarian korporat pada 2009 dijangka lebih tertumpu kepada ketahanan untuk menghadapi suasana ekonomi yang merudum di serata dunia ketika ini. Selain penurunan dari segi keuntungan, sektor korporat di serata dunia juga dijangka menyaksikan lebih banyak kes muflis, pendedahan rasuah dan salah laku korporat. Penyelewengan seperti kes Bernard Madoff dengan pelaburan awam berjumlah sekurang-kurangnya AS$50 bilion dijangka lebih banyak terbongkar.

Mahu tidak mahu, kita perlu mengakui kenyataan bahawa iklim ekonomi global tambah membimbangkan. Dua hari lalu, Bank Pusat Amerika menurunkan kadar faedah utama kepada hampir sifar peratus, manakala Bank Pusat Jepun menyusul dengan 0.3 peratus dan Bank Pusat Eropah pula kepada 2.5 peratus.

Hal ini melatari suasana ekonomi dengan pengecutan pasaran dalam pelbagai sektor.

Toshiba misalnya akan mengurangkan pengeluaran chips memori untuk kamera digital dan iPods sebanyak 30 peratus. Penjualan kereta di Eropah pula merekodkan pengurangan 26 peratus pada November lalu berbanding bulan sebelumnya. Menyedari kurangnya permintaan, Toyota menangguhkan pembinaan kilang baru di Misissippi yang pada awalnya dijangka mula mengeluarkan kereta pada Mei 2010 untuk pasaran Amerika Utara.

Secara umumnya, syarikat besar pengeluar kereta berasakan penurunan mendadak penjualan sejak suku ketiga 2008 lagi. Itu antara sebab ketiga-tiga pengeluar kereta Amerika Syarikat meminta bantuan modal daripada kerajaan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah!

Demikian antara faktor yang pada hemat saya akan mendefinisikan pelestarian dengan warna ekonomi pada 2009. Dengan kata lain, keupayaan sektor korporat bertahan dan terus mengekalkan survival masing-masing. Untuk bertahan, maka pelbagai langkah akan dilakukan seperti pengurangan bilangan pekerja, penurunan kapasiti pengeluaran dan fokus pasaran berkembang. Implikasinya ialah peningkatan pengangguran dan pengurangan kuasa beli pengguna.

Selain pelbagai inisiatif untuk merangsang pertumbuhan seperti bantuan modal dan pengurangan kadar faedah, banyak kerajaan dijangka menggunakan pelbagai dasar baru lebih inovatif.

Sebagai negara yang pernah mengalami beberapa episod kemelesetan ekonomi sejak merdeka, kita berharap strategi yang akan diambil kerajaan kali ini akan sekali lagi berhasil.

Persoalannya, dalam keadaan kemelesetan ekonomi global, apakah pelestarian dalam konteks ekosistem dan kemasyarakatan masih relevan?

Dari segi agenda, banyak peristiwa penting dijadualkan pada 2009 untuk memastikan kehangatan isu pelestarian terus dirasakan. Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland pada Januari depan dijangka memberi perspektif semasa terhadap pelestarian dalam senario kemelesetan ekonomi. Ini disusuli persidangan IMF dan Bank Dunia pada Oktober tahun depan untuk mencari strategi baru pelestarian ekonomi.

Kemuncaknya ialah persidangan pemimpin dunia di Copenhagen pada November 2009 untuk merumuskan kerangka perjanjian pasca-Protokol Kyoto yang tamat pada 2012, mengenai pengurangan pembebasan gas rumah kaca. Ketika ini pelbagai inisiatif dan lobi dilakukan untuk mengelakkan pengurangan gas rumah kaca berasaskan kepada pertumbuhan ekonomi.

Perlu difahami bahawa kegagalan mencapai kata sepakat untuk mengurangkan pembebasan gas rumah kaca di Copenhagen bermakna kita perlu mencari kaedah dan mekanisme lain menangani peningkatan suhu bumi yang mengambil masa lama. Atau sebaliknya, kita hanya pasrah terhadap apa saja musibah, bencana dan ketentuan Ilahi akibat berleluasanya ketidaktentuan cuaca, pencairan ais di kutub dan perubahan iklim.

Saya berpendapat, 2009 adalah penentu komitmen sebenar terhadap pelestarian dalam pengertian menyeluruh. Selama ini kita mendengar pelbagai ucapan, kenyataan dan pengumuman pelbagai pihak - termasuk sektor korporat 'hijau' - betapa aspek pelestarian adalah DNA dan asas kewujudan mereka. Selama ini atas nama 'tapak ekologi' dan 'peningkatan suhu bumi' pelbagai produk 'hijau' dipasarkan dan pelbagai reka cipta baru 'mesra alam' dicanangkan seperti biofuel dan enjin hibrid.

Dalam keadaan pertumbuhan ekonomi dijangka rendah (menurut The Economist - The World in 2009) Jerman, - 0.2%; - 0.1% (Perancis); - 0.3% (Itali); 0.7% (Belanda); 0% (Switzerland); - 1% (Britain), 0% (Jepun); - 0.1% (Singapura); - 0.2% (Amerika Syarikat); 0.5% (Kanada); 8% (China) dan India, 6.5% - apakah cadangan itu masih relevan?

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia

No comments: